KUALA LUMPUR, 18 Julai 2026 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] mengambil maklum laporan media mengenai pelaburannya dalam eFishery.
Kes eFishery secara keseluruhannya melibatkan manipulasi kewangan yang disengajakan serta penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat tersebut. Pada 29 April 2026, pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah, telah dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun oleh Mahkamah Negeri Bandung selepas disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Sehubungan itu, KWAP ingin memberikan penjelasan lanjut mengenai tindakan yang telah diambil susulan semakan dalaman yang dilaksanakan, serta langkah-langkah yang sedang diambil bagi melindungi kepentingan Dana.
Jumlah keseluruhan pelaburan KWAP dalam eFishery adalah sebanyak RM163.4 juta, yang mewakili kira-kira 2.51% daripada keseluruhan pegangan saham syarikat tersebut. KWAP merupakan pemegang saham minoriti, manakala majoriti saham syarikat tersebut dipegang oleh pelabur lain, termasuk pelabur institusi global utama yang turut terkesan akibat salah laku berkenaan.
Susulan pendedahan salah laku tersebut, KWAP telah melaksanakan semakan dalaman yang menyeluruh terhadap proses pelaburan, susunan pemantauan pascapelaburan serta maklumat yang tersedia kepada KWAP sepanjang tempoh pelaburan tersebut.
Tindakan susulan yang sewajarnya telah diambil selaras dengan tadbir urus dalaman dan kerangka akauntabiliti KWAP. KWAP juga terus meneroka dan melaksanakan segala saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan usaha pemulihan pelaburannya.
KWAP terus memperkukuh pendekatannya terhadap pelaburan pasaran swasta. Langkah-langkah tersebut merangkumi kepelbagaian portfolio yang lebih meluas, pelaburan bersama pengurus dana berpengalaman dan rakan kongsi strategik, pemantauan pascapelaburan yang dipertingkatkan, serta pengawasan yang lebih rapi terhadap perkembangan material yang melibatkan syarikat portfolio.
Dana KWAP kekal kukuh dan disokong oleh portfolio yang merangkumi pelbagai kelas aset, sektor dan geografi. Berdasarkan pencapaian kewangan belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025, KWAP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM8.33 bilion, dengan jumlah dana di bawah pengurusan meningkat kepada RM195.26 bilion.
KWAP komited untuk menguruskan Dana secara berhemat, telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan mandat berkanunnya bagi membantu Kerajaan memenuhi obligasi pencen kepada pesara sektor awam.
– TAMAT –
Mengenai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] telah ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662), bagi menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454) yang telah dimansuhkan.
KWAP menguruskan caruman daripada Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan yang dibuat ke dalam Kumpulan Wang Persaraan [Dana] untuk mendapatkan pulangan optimum ke atas pelaburannya melalui pengurusan dan pelaburan Dana yang kukuh dalam ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang, dan lain-lain bentuk pelaburan seperti yang dibenarkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662). Kumpulan Wang ini hendaklah digunakan untuk membantu Kerajaan Persekutuan dalam membiayai tugas-tugas pencennya. Pada tahun 2015, KWAP telah dilantik secara rasmi sebagai ejen Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembayaran pencen, ganjaran, dan faedah lain yang diberikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis daripada Kumpulan Wang Disatukan seperti yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan KWAP.
Lawati www.kwap.gov.my untuk maklumat lanjut.
Dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP]
