Hadiah wang tunai RM50,000 menanti pemenang Anugerah MyPesara KWAP
KUALA LUMPUR, 10 Oktober 2023 – Bagi mengiktiraf sumbangan pesara sektor awam yang kekal aktif berkhidmat dan memperkasa masyarakat secara keseluruhan semasa di alam persaraan mereka, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ingin menjemput semua pesara kerajaan dan sektor awam untuk menyertai Anugerah MyPesara yang dianjurkan pada tahun ini.
Anugerah ini juga bertujuan untuk menggalakkan pesara dan bakal pesara untuk terus terlibat dan menyumbang secara positif kepada masyarakat semasa fasa persaraan mereka.
Pencalonan bagi Anugerah MyPesara yang terdiri daripada tiga kategori iaitu Pendidikan, Sosial dan Khidmat Masyarakat serta Keusahawanan adalah terbuka kepada warganegara Malaysia yang sedang menerima pencen bulanan daripada pihak Kerajaan dan berumur 55 tahun ke atas serta telah bersara daripada perkhidmatan awam persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan kecuali pesara angkatan tentera Malaysia.
Para pesara sektor awam yang berminat untuk menghantar penyertaan mereka untuk Anugerah MyPesara boleh berbuat demikian bermula 10 Oktober 2023 sehingga 10 November 2023. Penghantaran borang dan dokumen penyertaan boleh dibuat melalui emel ke anugerahmypesara@kwap.gov.my, secara pos atau hadir ke mana-mana pejabat KWAP di Kuala Lumpur atau Cyberjaya, serta di beberapa program Jelajah MyPesara yang diadakan sepanjang tempoh tersebut. Untuk maklumat lanjut dan bagi mendapatkan borang pencalonan, sila layari www.kwap.gov.my/anugerahmypesara. Pemenang Anugerah MyPesara akan diumumkan pada 14 Disember 2023 dalam sebuah majlis penganugerahan.
Pemenang hadiah utama Anugerah MyPesara akan menerima wang tunai sebanyak RM50,000, trofi dan sijil penghargaan. Tiga pemenang bagi setiap kategori akan menerima wang tunai sebanyak RM10,000, trofi dan sijil penghargaan setiap seorang, manakala wang tunai sebanyak RM3,000, trofi dan sijil penghargaan akan diberikan kepada lima penerima hadiah saguhati bagi setiap kategori.
Sepanjang tahun ini, KWAP telah menganjurkan Jelajah MyPesara di seluruh negara dengan menyediakan perkhidmatan khidmat nasihat kepada bakal pesara tentang pelbagai aspek persaraan termasuk literasi kewangan, keusahawanan dan penjagaan kesihatan yang berlangsung sehingga akhir tahun ini. Sebagai penutup kepada Jelajah MyPesara ini, KWAP juga akan mengadakan Karnival MyPesara yang bakal berlangsung pada 25 dan 26 November 2023 di Dataran Karnival Stadium Shah Alam.
Menerusi slogan “Teman Persaraan Anda”, KWAP juga komited dalam memperkasa pesara sektor awam melalui inisiatif MyPesara yang merupakan pendekatan secara holistik untuk membantu meningkatkan kualiti kehidupan mereka sepanjang tempoh persaraan.
—TAMAT—
Mengenai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454).
KWAP menguruskan sumbangan daripada Kerajaan persekutuan dan agensi yang berkaitan untuk mendapatkan pulangan optimum atas pelaburanya melalui pengurusan yang baik dan pelaburan dana dalam pasaran ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan lain-lain bentuk pelaburan yang dibenarkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662). Dana ini akan digunakan untuk membantu pembiayaan liabiliti pencen Kerajaan Persekutuan. Pada tahun 2015, KWAP secara rasminya dilantik sebagai ejen Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembayaran pencen, ganjaran atau faedah lain yang diberikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan KWAP.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kwap.gov.my
Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi
Amirah Kamarulzaman
Nombor telefon: +603-2174 8000, ext 8669
Emel: nurulamirah.k@kwap.gov.my
Nazlin Amirudin
Nombor telefon: +603-2174 8000, ext 8679
Emel: nazlin.a@kwap.gov.my
Yasmin Syazwina
Nombor telefon: +6016-973 7956