KUALA LUMPUR, 22 Julai 2024 – Anugerah MyPesara yang dibawakan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] kini kembali lagi untuk kali ketiga bagi mengiktiraf sumbangan pesara sektor awam yang kekal aktif berkhidmat dan memperkasa masyarakat semasa di alam persaraan mereka. Dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), KWAP menjemput pesara sektor awam untuk menyertai Anugerah MyPesara pada tahun ini. Anugerah MyPesara 2024 ini selaras dengan inisiatif ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ yang bukan sahaja tertumpu kepada peningkatan ekonomi Malaysia, tetapi juga meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia, termasuk pesara sektor awam.
Kekal sama dengan tiga kategori pencalonan iaitu Keusahawanan, Pendidikan serta Sosial dan Khidmat Masyarakat, Anugerah MyPesara dianjurkan bagi mendorong para pesara dan bakal pesara untuk terus mengambil bahagian dalam menyumbang secara positif kepada masyarakat semasa bersara.
Terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 55 tahun ke atas yang menerima pencen bulanan daripada Kerajaan, mereka yang berminat mestilah daripada kalangan orang awam yang telah bersara daripada perkhidmatan awam persekutuan, negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan kecuali pesara angkatan tentera Malaysia (veteran ATM).
Penyerahan borang dan dokumen penyertaan Anugerah MyPesara akan dibuka sehingga 30 Ogos 2024 dan boleh dibuat melalui tiga kaedah. Pertama melalui emel anugerahmypesara@kwap.gov.my, kedua melalui pos, dan ketiga melalui serahan fizikal di mana-mana pejabat KWAP di Kuala Lumpur atau Cyberjaya, serta melalui program Jelajah MyPesara yang diadakan di kawasan anda sepanjang tempoh tersebut. Untuk maklumat lanjut dan bagi mendapatkan borang pencalonan, sila layari www.kwap.gov.my/anugerahmypesara. Pemenang Anugerah MyPesara akan diumumkan pada 11 Disember 2024 dalam sebuah majlis penganugerahan.
Pemenang hadiah utama Anugerah MyPesara akan menerima wang tunai sebanyak RM 50,000, trofi dan sijil penghargaan. Manakala, pemenang dalam setiap kategori masing-masing akan menerima wang tunai RM 10,000, trofi dan sijil penghargaan. Lima penerima hadiah saguhati dalam setiap kategori akan mendapat wang tunai RM 3,000, trofi serta sijil penghargaan.
Sepanjang tahun ini, KWAP mengadakan Jelajah MyPesara di seluruh Malaysia untuk menawarkan perkhidmatan khidmat nasihat kepada bakal pesara dan pesara mengenai pelbagai aspek persaraan termasuk literasi kewangan, keusahawanan dan penjagaan kesihatan yang berlangsung sehingga akhir tahun.
KWAP juga akan mengadakan Karnival MyPesara pada 29 dan 30 November 2024 di Johor Bahru. KWAP menjemput orang ramai untuk hadir bersama dengan keluarga mereka untuk memahami dengan lebih lanjut tentang kepentingan perancangan dan persediaan menjelang alam persaraan.
Seiring the slogan “Teman Persaraan Anda”, KWAP komited dalam meningkatkan kualiti hidup pesara sektor awam sepanjang tempoh persaraan mereka melalui inisiatif MyPesara.
—TAMAT—
Mengenai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454).
KWAP menguruskan sumbangan daripada Kerajaan persekutuan dan agensi yang berkaitan untuk mendapatkan pulangan optimum atas pelaburanya melalui pengurusan yang baik dan pelaburan dana dalam pasaran ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan lain-lain bentuk pelaburan yang dibenarkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662). Dana ini akan digunakan untuk membantu pembiayaan liabiliti pencen Kerajaan Persekutuan. Pada tahun 2015, KWAP secara rasminya dilantik sebagai ejen Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembayaran pencen, ganjaran atau faedah lain yang diberikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan KWAP.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kwap.gov.my.
Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi:
Amirah Kamarulzaman
Nombor telefon: +603-2174 8000