Sorotan tahun 2023:
- Pertumbuhan 7.4% daripada jumlah saiz dana
- Mencatatkan pendapatan bersih RM9.7 bilion
- Mencapai jumlah pulangan pelaburan dana sebanyak 8.2%
- 75.6% daripada portfolio KWAP tertumpu kepada pelaburan domestik
- Pengeluaran RM3 bilion daripada dana KWAP digunakan untuk membiayai sebahagian liabiliti pencen Kerajaan
KUALA LUMPUR, 31 Julai 2024 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] hari ini mengumumkan keputusan kewangan yang kukuh bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 (TK2023). Ini membuktikan kejayaan strategi pelaburan dan korporatnya dalam memberi nilai kewangan dan sosial kepada pihak berkepentingan serta pemegang taruhnya. Bagi tahun kewangan 2023, saiz dana KWAP meningkat daripada RM158.1 bilion pada tahun 2022 kepada RM169.8 bilion pada tahun 2023, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 7.4% dan mengekalkan sasaran KWAP untuk mencapai matlamat TERAS 5 pada hujung tahun 2024.
Selain mengambil kira pengeluaran berjumlah RM3 bilion daripada dana KWAP untuk membiayai sebahagian daripada liabiliti pencen Kerajaan, peningkatan bersih sebanyak RM11.7 bilion tahun ke tahun mencerminkan dedikasi berterusan organisasi dalam menguruskan aset secara berhemat dan mengoptimumkan pulangan pelaburan demi memenuhi mandatnya. Ini mengukuhkan lagi kedudukan KWAP sebagai dana persaraan sektor awam terbesar di Malaysia.
Prestasi dana telah merekodkan pendapatan bersih sebanyak RM9.7 bilion, yang merupakan satu peningkatan ketara daripada RM263 juta pada tahun 2022. Selain itu, KWAP turut mencapai jumlah pulangan pelaburan sebanyak 8.2% pada tahun 2023.
Dari segi kelas aset, pelaburan ekuiti awam mencatatkan kadar pulangan berwajaran masa (TWRR) sebanyak 11.0%, TWRR bagi portfolio ekuiti persendirian menyumbang sebanyak 7.9%, portfolio pendapatan tetap mencapai TWRR sebanyak 6.2%, portfolio infrastruktur memperoleh TWRR 5.2%, manakala hartanah mencapai TWRR sebanyak 3.5%. Prestasi kukuh ini memperlihatkan keberkesanan strategi pelaburan dan keputusan peruntukan aset KWAP.
Selaras dengan agenda Ekonomi MADANI Kerajaan untuk memangkin pelaburan domestik, KWAP kekal sebagai pelabur utama di Malaysia dengan 75.6% daripada aset pelaburan KWAP dilaburkan di Malaysia, manakala hanya 24.4% yang dilaburkan dalam pasaran antarabangsa. Daripada jumlah aset pelaburan, pelaburan awam membentuk 87.7% atau RM149 bilion dan selebihnya merupakan 12.3% atau RM20.8 bilion dalam pasaran swasta.
Seiring dengan pelbagai pengumuman bagi memacu ekonomi MADANI, termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, KWAP telah menumpukan usahanya kepada perancangan pelaburan dan pelaksanaan strategi yang menyeluruh bagi memastikan pendekatan yang inklusif dalam meningkatkan dana KWAP secara mampan. Bagi tahun kewangan 2023, Peruntukan Aset KWAP merangkumi 47.9% dalam ekuiti awam, 35.5% dalam pendapatan tetap, 5.3% dalam hartanah, 4.8% dalam ekuiti persendirian, 2.1% dalam infrastruktur, dan selebihnya 4.4% dalam pasaran wang.
Dana caruman yang diterima sebanyak RM2.7 bilion pada tahun 2023 terdiri daripada tiga sumber utama, iaitu Caruman Kerajaan Persekutuan, Syer Kerajaan dan Caruman Majikan. Caruman Majikan termasuk caruman daripada badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi.
Sejajar dengan inisiatif MADANI untuk mencipta peluang ekonomi baharu, KWAP komited untuk memperkukuhkan ekosistem modal teroka (VC) Malaysia melalui inisiatif Dana Perintis pada tahun 2023. Dengan peruntukan sebanyak RM500 juta, usaha ini bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan dalam persekitaran keusahawanan negara, memperkasakan syarikat pemula, memacu inovasi dan meningkatkan ketahanan ekonomi.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed, berkata, “Prestasi cemerlang pada tahun 2023 mengukuhkan rekod prestasi KWAP dalam memenuhi kedua-dua objektif kewangan dan sosial kami. Keputusan kewangan ini membuktikan keberkesanan model pelaburan kami untuk menjana pulangan yang mampan untuk pihak berkepentingan dan pemegang taruh. Kami juga sedang menstrukturkan usaha pelaburan dan inisiatif yang selari dengan rangka kerja MADANI, dan pendekatan ini membolehkan kami memberikan pulangan positif kepada penerima manfaat sambil menyumbang kepada pembangunan mampan Malaysia. Kejayaan berterusan KWAP mencerminkan komitmen KWAP dalam mencipta nilai jangka panjang untuk para pesara Kerajaan dan negara secara menyeluruh.”
Selain itu, KWAP telah dianugerahkan sijil audit tanpa teguran oleh Ketua Audit Negara bagi tahun kewangan 2023 dan kini dalam proses menyediakan laporan tahunan bersepadu pertamanya.
Pencapaian Penting Lain untuk Tahun 2023
Sementara itu, bagi perkhidmatan persaraan, sehingga 31 Disember 2023, KWAP memberi perkhidmatan kepada 790,772 penerima pencen di seluruh Malaysia dengan pecahan 73% pesara dan 27% daripada penerima pencen terbitan. Ini mewakili peningkatan sebanyak 2.8%, atau 21,825 penerima pencen, berbanding tahun 2022. Walaupun terdapat peningkatan bilangan penerima pencen pada tahun 2023, Indeks Tahap Perkhidmatan (SLA) untuk perkhidmatan persaraan mencapai skor wajaran tahunan sebanyak 99.4% pada tahun 2023, melebihi Prestasi Nilai Ambang sebanyak 95% seperti yang ditetapkan dalam perjanjian SLA antara KWAP dan JPA.
Selain daripada pencapaian kewangan dan operasi pada tahun 2023, KWAP komited untuk membawa perubahan positif yang melangkaui aktiviti pelaburannya.
KWAP telah melaksanakan pelbagai inisiatif khusus untuk meningkatkan kesejahteraan penerima pencen dan menggalakkan penglibatan dengan penerima pencen terbitan. Inisiatif ini termasuk:
- Jelajah MyPesara: Mula dilaksanakan pada tahun 2023, siri seminar pendidikan ini memberi fokus kepada perancangan kewangan, penjagaan kesihatan dan keusahawanan.
- Karnival MyPesara: Acara tahunan yang mengetengahkan pelbagai aspek penuaan aktif dan produktif untuk penerima pencen semasa dan akan datang.
- Anugerah MyPesara: Program anugerah yang mengiktiraf pesara aktif yang terus memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.
Selain itu, KWAP turut menjalankan lawatan ke rumah pesara untuk memahami keperluan mereka serta mengekalkan hubungan baik bersama pesara.
Melangkah ke Hadapan
“Kami akan terus meningkatkan usaha untuk memperbaiki pengalaman persaraan dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif dan aktiviti khusus untuk menitikberatkan keperluan pesara. Walaupun reformasi pencen telah dibincangkan dan masih dalam peringkat awal, isu ini juga membawa perubahan baharu dalam konteks dan ekosistem negara. Di KWAP, kami akan memastikan sistem pencen kekal kukuh dan responsif terhadap keperluan pesara yang sentiasa berubah. Selari dengan slogan, “Teman Persaraan Anda”, kami tetap berpegang pada komitmen kami untuk menyediakan perjalanan persaraan yang lebih bermanfaat untuk pesara Malaysia,” tambah Datuk Hajah Nik Amlizan.
Untuk maklumat lanjut tentang KWAP, sila layari www.kwap.gov.my.