KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2024 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] memperkukuh komitmennya terhadap pelaburan mampan dengan berikrar untuk meningkatkan tumpuannya terhadap aset alih kepada RM20 bilion. Inisiatif ini selaras dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI, yang membuktikan komitmen KWAP dalam memupuk ekonomi rendah karbon. Sebagai satu organisasi yang aktif memperjuangkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasinya, KWAP berazam untuk mencapai Portfolio Sifar Bersih menjelang tahun 2050. Strategi ini bertujuan untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, melindungi kebolehdudukan planet serta meningkatkan nilai jangka panjang pelaburannya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed, menyatakan, “Di KWAP, ESG bukan sekadar aspirasi – ia merupakan prinsip operasi teras yang membimbing kedua-dua jangkauan komuniti dan strategi pelaburan kami. Kami komited untuk memperjuangkan prinsip ESG dengan sasaran yang jelas, termasuk pelaburan yang signifikan dalam projek tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur mampan dan teknologi bersih yang inovatif. Matlamat kami adalah untuk memacu perubahan yang bermakna dalam peralihan kepada ekonomi lestari sambil memastikan pulangan yang kukuh untuk pihak berkepentingan kami. Selain pelaburan, KWAP juga melaksanakan program kelestarian yang menyeluruh dalam organisasi kami, seperti mengurangkan jejak karbon dan mempromosikan kesedaran alam sekitar dalam kalangan tenaga kerja dan pihak berkepentingan.”
Sebagai dana pencen terbesar di Malaysia untuk pesara penjawat awam, KWAP diberi mandat untuk menjana pulangan jangka panjang yang mampan dan mencapai pulangan terlaras risiko secara optimum bagi Dana ini. Mencari peluang secara aktif untuk melabur dalam syarikat dan projek yang sejajar dengan tema yang berkaitan, KWAP menyasarkan untuk mencapai impak sosial dan alam sekitar yang signifikan termasuk pulangan kewangan.
YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II, melancarkan persidangan KWAP Inspire pada hari ini yang merupakan salah satu daripada sokongan KWAP terhadap Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia, yang merupakan pelan yang menekankan komitmen sifar bersih, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45% menjelang tahun 2030 dan mencapai sifar bersih menjelang tahun 2050.
Bertemakan Advancing Circular Transformation for a Climate-Smart Malaysia, persidangan ini menghimpunkan pihak berkepentingan utama daripada sektor awam, industri kewangan dan pakar kelestarian untuk meneroka strategi bagi membina masa hadapan yang lebih terjamin, saksama, inklusif dan mampan untuk semua rakyat Malaysia dengan menekankan kepentingan Ekonomi Kitaran.
Persidangan ini menampilkan Datu Dr. Muhammad Abdullah Haji Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), sebagai penceramah jemputan terkenal. Selain itu, acara ini turut menampilkan barisan pakar subjek terkenal termasuk Jason Drew, Pengerusi Stoak Technologies dan kapitalis alam sekitar, dan Jacqueline Chang, Duta Circular Economy Institute and Global Covenant of Mayors for Climate and Energy (GCoM). Dr. R Balasubramanian, Pengerusi SEBI Social Stock Exchange Advisory Committee di India, dan Sharifatul Hanizah Said Ali, Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Islam (ICM) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, untuk berkongsi pandangan mereka.
Selain itu, Tan Sri Andrew Sheng, Felo Terkemuka di Institute for Capital Market Research Malaysia (ICMR) turut berkongsi pandangan berharga beliau, dan Dato’ Dr. Hartini Zainudin, Pengasas Bersama Yayasan Chow Kit. Dato’ Charon Wardini Mokhzani, Pengerusi Export-Import Bank of Malaysia (EXIM Bank), dan Dato’ Mohd Muazzam Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, juga turut menyumbang pengetahuan dan kepakaran mereka.
Di samping itu, pada persidangan hari ini, KWAP melancarkan Laporan Kelestarian 2023 yang pertamanya. Laporan itu menekankan komitmen KWAP untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pemikiran dalam kelestarian melalui lima (5) ikrar utama. Ikrar ini memacu komitmen KWAP terhadap penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan:
- Ikrar 1: Menyokong Agenda Sosial
- Ikrar 2: Memperkasakan Kolaborasi untuk Tindakan Bersama
- Ikrar 3: Portfolio Sifar Bersih Menjelang Tahun 2050
- Ikrar 4: Meningkatkan Pelaburan dalam Aset Alih kepada RM20 bilion Menjelang Tahun 2030
- Ikrar 5: Meningkatkan Tadbir Urus Kelestarian
Tambah Datuk Hajah Nik Amlizan, “Komitmen ini mencerminkan kepercayaan kami bahawa kejayaan kewangan dan kemajuan masyarakat saling bergantung antara satu sama lain. Melangkah ke hadapan, KWAP akan terus menunjukkan teladan yang baik, membuktikan bahawa pelaburan bertanggungjawab bukan sahaja mematuhi prinsip etika malah bijak dari segi ekonomi dalam suasana global yang berkembang pesat.”
Untuk maklumat lanjut tentang KWAP, sila layari www.kwap.gov.my.
—TAMAT—
Mengenai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454).
KWAP menguruskan caruman daripada Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan ke dalam Kumpulan Wang Persaraan (Dana) untuk mendapatkan pulangan optimum atas pelaburannya melalui pengurusan yang baik dan pelaburan Dana dalam pasaran ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan lain-lain bentuk pelaburan yang dibenarkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662). Dana ini akan digunakan untuk membantu membiayai liabiliti pencen Kerajaan Persekutuan. Pada tahun 2015, KWAP secara rasminya dilantik sebagai ejen Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembayaran pencen, ganjaran atau faedah lain yang diberikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis daripada Kumpulan Wang Disatukan yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan KWAP.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kwap.gov.my