Talian Bantuan KWAP
Kami sedia membantu anda
Hai! Selamat datang ke Talian Bantuan KWAP. Sila
pilih menu di bawah untuk memudahkan carian
anda.

Memilih pilihan...

Kenyataan Akhbar

KWAP Akan Membangunkan Rumah Persaraan Mandiri di Tanah Wakaf Negeri

Perkembangan terkini inisiatif disampaikan semasa Karnival MyPesara 2024

 

Projek ini akan direalisasikan melalui:

  • Kerjasama dengan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri untuk membangunkan rumah persaraan mandiri di atas tanah wakaf.
  • Perbincangan bersama JAWHAR, Yayasan Waqaf Malaysia, dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri di seluruh negara sedang giat dijalankan bagi mengenal pasti lokasi tanah projek yang sesuai.
  • Pengurusan projek pemula oleh KWEST Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh KWAP, yang akan membangunkan 100 hingga 300 unit rumah di setiap lokasi terpilih di beberapa negeri.

 

JOHOR BAHRU, 30 November 2024 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] telah mengadakan perbincangan bersama Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dari seluruh Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan juga Yayasan Waqaf Malaysia bagi mengenal pasti lokasi-lokasi tanah yang berpotensi untuk membangunkan rumah-rumah persaraan mandiri. Projek ini merupakan sebahagian daripada usaha KWAP untuk terus menyokong para pesara, sejajar dengan misi KWAP untuk menjadi ‘Teman Persaraan Anda’.

 

Sebanyak RM300 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan projek ini, susulan pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini. Inisiatif ini selari dengan program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan untuk menaikkan lantai kualiti hidup (“raising the floor”) rakyat dan bersesuaian dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk terus mendukung kesejahteraan para pesara.

 

KWAP dan  anak syarikat milik penuh KWAP, KWEST Sdn. Bhd. akan meneliti kebolehsanaan inisiatif ini dan bercadang untuk melaksanakan  projek pemula (“pilot project”) di beberapa buah negeri yang merangkumi100 sehingga 300 unit rumah persaraan mandiri di setiap lokasi. Bagi projek perintis ini, pembangunan rumah persaraan bersepadu tersebut akan berkonsepkan pemerkasaan kehidupan berdikari (“independent living”), berkomuniti serta pembelajaran dalam suasana persekitaran yang selesa dan kondusif. 

 

Antara kemudahan-kemudahan rumah persaraan ini  termasuklah surau, dewan serbaguna, kelas pembelajaran, bilik rawatan, ruang rekreasi serta ruang komersil. Rumah persaraan ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan penginapan jangka masa panjang, tetapi juga jangka masa pendek serta penjagaan harian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Hajah Nik Amlizan Mohammed berkata, “Bagi menyokong keperluan pesara sektor awam, selari dengan visi Kerajaan MADANI, KWAP komited untuk meningkatkan kebajikan pesara melalui projek pembangunan rumah persaraan mandiri ini. Dengan memanfaatkan tanah wakaf sedia ada, kami berharap untuk menyediakan rumah persaraan mandiri terutama kepada pesara kerajaan, menyumbang kepada integrasi komuniti, meningkatkan keterangkuman sosial dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.”

 

Perkembangan projek ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di majlis peluncuran Karnival MyPesara kali ke-4 yang diadakan di Johor Bahru. Karnival yang pertama kalinya dianjurkan di zon selatan ini merupakan acara utama dalam siri sesi libat urus KWAP dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), khusus untuk para pesara dan juga bakal pesara. Karnival ini merupakan salah satu komitmen KWAP untuk membudayakan gaya hidup sihat dan menggalakkan penuaan aktif dalam kalangan pesara dan bakal pesara kerajaan serta rakyat Malaysia secara amnya.

 

Karnival ini menawarkan pelbagai aktiviti bermanfaat untuk pengunjung melalui perkongsian tentang hal-hal berkaitan persediaan persaraan. Karnival MyPesara yang berlangsung selama dua hari pada 29 dan 30 November 2024 ini turut menampilkan lebih 60 reruai pameran dan pelbagai program menarik temasuk Bazar MyPesara yang dikendalikan oleh para pesara sendiri, aktiviti Riadah MyPesara dan pemeriksaan kesihatan asas percuma.

 

Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed juga berkata, ”Saya berharap agar orang awam, para pesara dan bakal pesara yang telah berkunjung ke karnival ini dapat memperolehi ilmu baharu melalui sesi perkongsian termasuk bicara motivasi dan sesi Sembang MyPesara. Antara inisiatif lain yang turut dibawakan oleh KWAP dalam usaha untuk terus mengutamakan keperluan pesara sektor awam dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka adalah melalui program Jelajah MyPesara dan Anugerah MyPesara.”

 

Jelajah MyPesara merupakan satu program jangkauan bagi menyantuni para pesara di seluruh negara melalui seminar yang meliputi topik pengurusan kewangan, penjagaan kesihatan dan keusahawanan. Anugerah MyPesara pula adalah sebuah penganugerahan yang dianjurkan setiap tahun khas bagi mengiktiraf dan menghargai pesara perkhidmatan awam yang telah memberi impak positif dalam bidang Keusahawanan, Pendidikan, serta Sosial dan Khidmat Masyarakat. Pemenang anugerah ini akan diumumkan pada Disember 2024. 

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kwap.gov.my.

---TAMAT---

Mengenai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) 

Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662).


KWAP menguruskan caruman daripada Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan ke dalam Kumpulan Wang Persaraan (Dana) untuk mendapatkan pulangan optimum atas pelaburannya melalui pengurusan yang baik dan pelaburan Dana dalam pasaran ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang dan lain-lain bentuk pelaburan yang dibenarkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662). Dana ini akan digunakan untuk membantu membiayai liabiliti pencen Kerajaan Persekutuan.  Pada tahun 2015, KWAP secara rasminya dilantik sebagai ejen Kerajaan Persekutuan untuk tujuan pembayaran pencen, ganjaran atau faedah lain yang diberikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis daripada Kumpulan Wang Disatukan yang dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dan KWAP. 

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.kwap.gov.my  

 

Untuk sebarang pertanyaan media, sila hubungi   

Amirah Kamarulzaman
Unit Perhubungan Awam dan Komunikasi,
Jabatan Komunikasi Strategik,
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP]
Nombor Telefon: +603-2174 8000
Emel: nurulamirah.k@kwap.gov.my

IKUTI PERKEMBANGAN STATUS BERKAITAN PERSARAAN DARIPADA KWAP

Maklum Balas

Pertanyaan

Maklum Balas

Had Muat Naik Fail
  • Saiz lampiran tidak melebihi 2 MB
  • Anda boleh muat naik fail dengan format berikut
    .gif, .jpg, .doc, .txt, .pdf
Laman sesawang ini menggunakan versi terkini terkini Firefox, Chrome dan Safari atau Internet Explorer 10.

langgan sekarang untuk mendapatkan tinjauan terkini kami!

Laman sesawang ini menggunakan versi terkini terkini Firefox, Chrome dan Safari atau Internet Explorer 10.

Kenyataan Tawaran Tender

Cadangan Membekal, Menghantar, Memasang, Menguji, ...

Cadangan Membekal, Menghantar, Memasang, Menguji, Mentauliah, Pemulihan Bencana sebagai Perkhidmatan (DRaaS) dan Sandaran sebagai Perkhidmatan (BaaS) untuk KWAP

Kenyataan Tawaran Tender

Cadangan untuk Membekal, Menghantar, Memasang, Men...

Cadangan untuk Membekal, Menghantar, Memasang, Menguji, Mentauliah, dan Menyelenggara Enterprise Service Management (ESM) System untuk KWAP

Hubungi Kami
Ikut Kami
Hubungi Kami
Ikut Kami