KUALA LUMPUR, 11 Mei 2026 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] hari ini mengumumkan pelantikan Dato’ Jay Khairil Jeremy Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya, berkuat kuasa pada 20 Mei 2026.
Dato’ Jay Khairil mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam sektor perbankan dan perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran luas yang merangkumi pengurusan kewangan, tadbir urus, audit dalaman, pengurusan risiko dan transformasi institusi.
Sebelum pelantikan beliau di KWAP, Dato’ Jay Khairil berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN) dan menerajui transformasi bank tersebut dalam aspek prestasi kewangan, perbankan digital, daya tahan operasi dan keterangkuman kewangan, di samping melaksanakan mandat institusi tersebut dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh Malaysia.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan dan Ketua Audit Dalaman BSN, selain memegang jawatan kanan di CIMB Group, Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (Malaysia) dan Bank Negara Malaysia, dengan pengalaman awal kerjaya di Hong Leong Bank dan AmMerchant Bank.
Dato’ Jay Khairil memiliki Ijazah dalam bidang Perniagaan dan Kewangan dari Heriot-Watt University, Edinburgh, Scotland, United Kingdom, serta Diploma Lanjutan dalam Perakaunan Pengurusan (Management Accounting). Beliau merupakan Chartered Banker, Chartered Global Management Accountant dan Certified Financial Services Auditor, serta ahli Malaysian Institute of Accountants dan Chartered Institute of Management Accountants. Beliau juga merupakan Ahli Berpiagam Institute of Internal Auditors Malaysia.
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Dato’ Jay Khairil akan menerajui hala tuju strategik, operasi dan keutamaan institusi, di samping melaksanakan mandat KWAP sebagai dana persaraan sektor awam Malaysia melalui pelaburan yang berdisiplin, tadbir urus yang kukuh dan kepimpinan institusi dalam jangka panjang.
KWAP turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed yang telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWAP sejak tahun 2020, atas kepimpinan, khidmat dan sumbangan beliau kepada kejayaan berterusan organisasi sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
