Sorotan Utama
- RM1.5 bilion melalui Dana Pemacu
- RM1 bilion melalui Dana Iklim⁺
- RM200 juta melalui Dana Perintis
- Sehingga RM1 bilion bagi sektor semikonduktor Malaysia
- RM750 juta melalui Projek Vista Kampus bagi pembangunan kemudahan penginapan khusus pelajar yang dibina di universiti tempatan awam dan swasta terpilih
- RM50 juta melalui UniVC bagi menggalakkan pengkomersialan hasil penyelidikan universiti
- Peningkatan kadar pencen minimum bulanan daripada RM1,000 kepada RM1,350
KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] menyambut baik Belanjawan 2027 serta komitmen berterusan Kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Ekonomi MADANI. Dengan mengimbangi keperluan semasa rakyat dan keutamaan ekonomi negara bagi jangka panjang, Belanjawan ini menggariskan langkah-langkah untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia, memperkukuh daya saing negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, mencerminkan tumpuan berterusan Kerajaan terhadap usaha memperkasa daya saing ekonomi Malaysia melalui pembangunan industri bernilai tinggi, pelaburan berkualiti, inovasi teknologi dan peningkatan produktiviti.
Seiring dengan keutamaan tersebut, KWAP turut menyambut baik komitmen Kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal negara kepada 3.3% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2027, berbanding unjuran 3.6% pada tahun 2026. Sasaran ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan ke arah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara dan meningkatkan daya tahan ekonomi untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.
Dato’ Jay Khairil Jeremy Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP berkata, “Belanjawan 2027 memperlihatkan peranan penting modal domestik jangka panjang sebagai pemangkin kemajuan ekonomi Malaysia. Bagi KWAP, keutamaan kami kekal tertumpu kepada pelaburan Dana Persaraan secara berhemat bagi menjana pulangan jangka panjang yang mampan, di samping meneroka peluang pelaburan yang sejajar dengan keutamaan pembangunan Kerajaan di bawah Ekonomi MADANI.
“Melalui penyaluran modal secara strategik dalam negara, kami berhasrat untuk menyokong pembangunan syarikat tempatan, memperkasa sektor-sektor utama serta menggalakkan penyertaan modal swasta. Selain pelaburan, kami turut menyumbang kepada usaha Kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan kadar gaji minimum yang disemak semula. Usaha ini membolehkan KWAP memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, di samping terus melaksanakan tanggungjawab kami sebagai pelabur institusi jangka panjang.”
KWAP merancang untuk menggerakkan modal merangkumi pasaran swasta, sektor-sektor strategik dan pasaran modal domestik, tertakluk kepada proses pelaburan KWAP, pertimbangan risiko dan pulangan serta keadaan pasaran semasa.
Ini termasuk RM1.5 bilion melalui Dana Pemacu bagi memperkukuh keupayaan pengurusan dana tempatan, menarik penyertaan modal swasta serta memperluas akses kepada pembiayaan bagi syarikat Malaysia yang berada pada peringkat pertumbuhan; RM200 juta melalui Dana Perintis bagi merancakkan ekosistem syarikat pemula niaga dan inovasi negara; serta RM1 bilion melalui Dana Iklim⁺ bagi pelaburan berteraskan iklim untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia.
KWAP turut merancang untuk memperuntukkan sehingga RM1 bilion bagi sektor semikonduktor, dengan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan di sepanjang rantaian nilai bagi memperteguh keupayaan industri tempatan dan meningkatkan daya saing industri Malaysia.
Sebagai tambahan kepada komitmen tersebut, KWAP merancang untuk menyalurkan RM750 juta melalui Projek Vista Kampus bagi pembangunan kemudahan penginapan khusus pelajar yang dibina di universiti tempatan awam dan swasta terpilih bagi memenuhi keperluan infrastruktur pendidikan tinggi negara.
Bagi memperkukuh ekosistem inovasi Malaysia, Kerajaan bersama KWAP akan mewujudkan Dana UniVC bernilai RM50 juta bagi menyokong pengkomersialan hasil penyelidikan universiti serta menggalakkan penyertaan lebih banyak modal swasta dalam pembangunan inovasi tempatan.
Belanjawan 2027 turut mengumumkan peningkatan kadar pencen minimum bulanan daripada RM1,000 kepada RM1,350, yang akan memanfaatkan hampir 59,000 pesara dan penerima pencen terbitan, antara lain. Selain itu, bantuan kewangan khas sebanyak RM750 turut akan disalurkan kepada pesara Kerajaan.
Komitmen ini memperkukuh peranan KWAP sebagai Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dalam menggerakkan modal jangka panjang bagi menyokong keutamaan ekonomi negara, dengan terus berpegang teguh pada mandat di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 [Akta 662], tanggungjawab fidusiari serta komitmen terhadap pesara kerajaan Malaysia. KWAP akan terus melaksanakan pelaburan secara berhemat dan berdisiplin bagi menjana pulangan jangka panjang yang mampan, di samping memperkukuh ekosistem pelaburan Malaysia, membangunkan keupayaan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi jangka panjang.
– TAMAT –
Mengenai Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)
Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] telah ditubuhkan pada 1 Mac 2007 di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662), bagi menggantikan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454) yang telah dimansuhkan.
KWAP menguruskan caruman daripada Kerajaan Persekutuan dan agensi berkaitan yang dibuat ke dalam Kumpulan Wang Persaraan [Dana] untuk mendapatkan pulangan optimum ke atas pelaburannya melalui pengurusan dan pelaburan Dana yang kukuh dalam ekuiti, sekuriti pendapatan tetap, instrumen pasaran wang, dan lain-lain bentuk pelaburan seperti yang dibenarkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662). Kumpulan Wang ini hendaklah digunakan untuk membantu Kerajaan Persekutuan dalam membiayai tugas-tugas pencennya. Pada tahun 2015, KWAP telah dilantik secara rasmi sebagai ejen Kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembayaran pencen, ganjaran, dan faedah lain yang diberikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis daripada Kumpulan Wang Disatukan seperti yang dipersetujui antara Kerajaan Persekutuan dan KWAP.
Lawati www.kwap.gov.my untuk maklumat lanjut.
Dikeluarkan oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP]
