- Pemenang bagi kategori Sosial dan Khidmat Masyarakat, Mazlan bin Hashim telah dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama dengan membawa pulang wang tunai keseluruhan sebanyak RM 60,000.
- Mohamad Soder bin Rahmad telah diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Pendidikan manakala Dr. Mohmad bin Mustafa pula memenangi kategori Keusahawanan.
- Anugerah MyPesara terus mengiktiraf sumbangan pesara sektor awam kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk terus memberi sokongan kepada pesara menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan produktif.
PUTRAJAYA, 11 Disember 2024 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengumumkan pemenang bagi Anugerah MyPesara 2024 yang kini memasuki tahun ke-3 penganjurannya.
Anugerah MyPesara merupakan penganugerahan peringkat perdana yang dianjurkan khas bagi mengiktiraf dan menghargai pesara sektor awam yang terus berkhidmat dan memberi impak positif dalam bidang Keusahawanan, Pendidikan serta Sosial dan Khidmat Masyarakat. Pada tahun ini, KWAP telah menerima hampir 100 penyertaan daripada para pesara Kerajaan di seluruh negara.
Seramai 18 pemenang telah diumumkan pada kali ini dengan jumlah pemenang yang sama daripada kedua-dua kumpulan pelaksana dan pengurusan. Bagi setiap kategori yang dipertandingkan, seorang pemenang telah dipilih manakala lima orang lagi merupakan penerima hadiah saguhati. Pemenang hadiah utama pula telah dipilih daripada salah seorang pemenang kategori.
Mazlan bin Hashim, pemenang bagi kategori Sosial dan Khidmat Masyarakat telah dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama Anugerah MyPesara 2024. Beliau yang merupakan pesara daripada kumpulan pelaksana aktif dalam menggerakkan industri seni bela diri dan seni warisan tempatan melalui penghasilan dokumentari serta karya seni tradisional yang mempromosikan warisan kebudayaan Pahang. Penglibatan beliau tidak terhad kepada dalam negara sahaja, malah beliau turut terlibat dalam Festival Kampung Melayu di Roermand, Belanda.
Di samping itu, beliau juga giat dalam penulisan dan penerbitan buku mengenai tradisi silat dan seni bela diri serta terlibat secara langsung sebagai jurulatih dan juri untuk pelbagai acara silat olahraga. Beliau bukan sahaja memfokuskan usaha beliau terhadap bidang seni, tetapi juga terlibat dalam kajian dan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat umum tentang perubatan tradisional berasaskan herba.
Pemenang bagi kategori Pendidikan telah diberikan kepada Mohamed Soder bin Rahmad. Seiring dengan perkembangan teknologi, beliau aktif dalam perkongsian ilmu dan motivasi yang meliputi pelbagai topik, termasuklah kemahiran belajar secara atas talian di beberapa laman media sosial seperti YouTube, TikTok dan laman blog. Beliau juga giat menyampaikan perkongsian melalui sesi ceramah, forum, kursus dan webinar di sekolah, universiti, agensi dan persatuan.
Dr. Mohmad bin Mustafa pula telah diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Keusahawanan. Selain membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat melalui penubuhan restoran makanan berasaskan daging kambing, beliau turut bergiat aktif dalam sektor agro pelancongan-kluster penternakan di MAEPS, Serdang. Ladang yang diusahakan beliau dijadikan Pusat Latihan bagi pelajar praktikal Veterinar UPM dan digunakan untuk kursus praktikal bagi usahawan dan penternak muda.
Pemenang utama Anugerah MyPesara telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000, trofi serta sijil penghargaan. Pemenang bagi setiap kategori pula telah menerima wang tunai sebanyak RM10,000, trofi dan sijil penghargaan setiap seorang manakala wang tunai sebanyak RM3,000, trofi dan sijil penghargaan diberikan kepada semua penerima hadiah saguhati bagi setiap kategori.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP, Zarina Halim, berkata, “Anugerah MyPesara anjuran KWAP ini merupakan inisiatif penting yang menghargai komitmen pesara sektor awam dalam terus menyumbang bakti kepada masyarakat. Melalui penghargaan ini, KWAP bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada sumbangan mereka, tetapi juga memperkukuh semangat keprihatinan terhadap golongan pesara yang telah memainkan peranan besar dalam pembangunan negara.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif dan harmoni, dimana pesara terus diberi sokongan untuk menjalani kehidupan yang bermakna dan produktif di alam persaraan. Inisiatif ini juga berperanan penting dalam menempuhi cabaran ‘ageing nation’, dengan menjadi platform untuk menggalakkan golongan pesara kekal aktif dalam komuniti, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan sosial mereka secara menyeluruh, mencerminkan salah satu teras Malaysia MADANI yang amat dititikberatkan, iaitu ‘Kesejahteraan’.”
Tambah beliau lagi, ”Kejayaan dan dedikasi semua pemenang Anugerah MyPesara tahun ini adalah pencapaian yang sangat membanggakan, bukan sahaja kepada KWAP, tetapi juga kepada negara. Pesara sektor awam adalah aset yang amat bernilai, dan melalui Anugerah MyPesara, KWAP berhasrat untuk menyampaikan mesej penting bahawa khidmat kepada negara tidak terhenti setelah bersara. Selari dengan slogan kami, “Teman Persaraan Anda”, kami amat berbesar hati dapat meraikan individu yang terus memberi inspirasi, menjadi teladan dan menyumbang kepada masyarakat. Semoga pencapaian mereka menjadi dorongan kepada generasi akan datang untuk mencontohi semangat juang serta dedikasi yang berterusan ini.”
Majlis Anugerah MyPesara 2024 telah dihadiri oleh Yang Berbahagia Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan merangkap Pengerusi Lembaga KWAP yang mewakili Yang Berhormat Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Menteri Kewangan II.