KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2024 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dengan kerjasama Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®), Universiti Putra Malaysia hari ini melancarkan Laporan Agenda Strategik Persaraan, sebuah bahan rujukan komprehensif untuk memastikan kesiapsiagaan persaraan mampan bagi penjawat awam, pesara dan penerima faedah terbitan.
Kajian ini telah diterajui oleh KWAP selepas pembaharuan memorandum persefahaman (MoU) antara KWAP dan MyAgeing ditandatangani pada April 2023 untuk menggalakkan penyelidikan dan pertukaran pengetahuan mengenai isu-isu berkaitan pesara. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), selaku rakan strategik KWAP, telah memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ini dan memainkan peranan penting sebagai pihak pendukung sepanjang kajian ini dijalankan. Kajian yang melibatkan seramai 6,252 penjawat awam dan 1,075 pesara dan penerima faedah pencen terbitan ini menekankan kepentingan langkah proaktif untuk persediaan persaraan serta usaha menangani cabaran ke arah persaraan yang lebih bermakna.
Laporan Agenda Strategik Persaraan ini memberi fokus kepada kesiapsiagaan Malaysia menuju ke arah negara menua pada tahun 2035 serta menambahbaik strategi sistem persaraan sedia ada. Selain itu, antara topik lain yang dibentangkan dalam laporan ini adalah pendekatan holistik yang memberi tumpuan kepada keperluan pesara pada masa hadapan dan cara menangani jurang semasa dalam perkhidmatan untuk pesara.
Penemuan utama kaji selidik ini digunakan untuk membangunkan Rangka Kerja Agenda Strategik Kerjaya-Persaraan (‘Career-Retirement Strategic Agenda’) atau juga lebih dikenali sebagai CReSA, yang merangkumi empat objektif, dua belas strategi dan tujuh puluh lapan inisiatif. Selain itu, ia juga berperanan untuk meningkatkan pengalaman persaraan bagi pesara dalam empat tonggak utama iaitu:
- Kesihatan: Inisiatif ini termasuk cadangan bantuan perkhidmatan perubatan dalam talian, pendaftaran insurans kesihatan automatik, kemudahan pembayaran bersama di klinik swasta, melatih lebih ramai kakitangan dalam penjagaan geriatrik dan meningkatkan kesedaran tentang inisiatif penjagaan melibatkan pencegahan hal-hal berkaitan kesihatan.
- Keselamatan dan Perlindungan: Langkah-langkah ini melibatkan cadangan untuk memperkenalkan modul persediaan persaraan di peringkat awal perkhidmatan, menawarkan diskaun pengangkutan, menyediakan khidmat nasihat secara di atas talian dan mempromosikan kesedaran serta memperluaskan perkhidmatan berkaitan persaraan di Pejabat Kerajaan Negeri.
- Penyertaan Sosial dan Rangkaian: Cadangan yang disyorkan termasuk skim simpanan persaraan tambahan, diskaun penginapan percutian, menambahbaik aplikasi MyPesara untuk mempromosikan aktiviti penyertaan sosial dan menjalankan program untuk meningkatkan kesejahteraan sosial.
- Pembelajaran Sepanjang Hayat: Strategi ini merangkumi modal kesiapsiagaan persaraan yang meliputi pelbagai aspek persaraan dan program-program yang bertujuan untuk menggalakkan penuaan aktif di samping menggalakkan perkongsian dan pengisian kemahiran baru.
Rangka kerja CReSA ini melibatkan pelbagai sektor dan pihak berkepentingan. Oleh itu, beberapa faktor kejayaan yang perlu diambil kira dalam pelaksanaan agenda ini adalah seperti sokongan daripada kepimpinan dan pengurusan atasan, penglibatan pihak berkepentingan dalam proses pembentukan dan perancangan insiatif, kerjasama untuk membangunkan inisiatif sedia ada, kemahuan politik serta pemantauan dan penilaian.
Ketua Pegawai Perkhidmatan Persaraan KWAP, Zarina Halim berkata, ”Malaysia dijangka akan berhadapan dengan negara menua dalam tempoh 5 hingga 6 tahun yang akan datang. Oleh itu, sebagai dana pencen sektor awam terbesar di Malaysia, KWAP komited untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan pesara terpelihara disamping memanfaatkan potensi golongan warga emas dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara selari dengan fokus GEAR-uP.”
“Melalui laporan ini, KWAP ingin mendidik pesara dan bakal pesara tentang faedah simpanan persaraan yang konsisten dan cara menguruskan perbelanjaan dan hutang semasa tempoh persaraan. Ini bersesuaian dengan peranan KWAP sebagai Teman Persaraan Anda,” tambah beliau.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim berkata, “Selari dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menekankan kesejahteraan yang merangkumi aspek sosial, JPA berperanan sebagai tonggak negara dalam memastikan kebajikan pesara sektor awam terperlihara. JPA akan berusaha memperkukuhkan pelaksanaan dasar-dasar sedia ada, sambil menambah baik perkhidmatan kami agar lebih responsif kepada keperluan warga emas dan masyarakat.”
Penghasilan laporan ini adalah berdasarkan penemuan daripada lima aktiviti utama yang merangkumi kajian menyeluruh, tinjauan, perbincangan kumpulan fokus, penggubalan rangka kerja baharu serta bengkel untuk pihak berkepentingan.
Laporan ini dilancarkan bersempena Persidangan Kebangsaan Penuaan 2024 (NCA2024), yang bakal berlangsung pada 23 dan 24 Oktober 2024.
Untuk maklumat lanjut tentang KWAP, sila layari www.kwap.gov.my.