Page 76 - KWAP_AR2022
P. 76
74 KUMPULAN WANG PERSARAAN (DIPERBADANKAN) MEMACU KE ARAH PRESTASI YANG LEBIH BAIK
ULASAN PERNIAGAAN
PERKHIDMATAN PERSARAAN
Peranan utama KWAP sebagai agensi kerajaan meliputi pemprosesan dan pembayaran manfaat pencen termasuklah
ganjaran, pencen, ex gratia, tuntutan berkaitan serta pengurusan perkhidmatan pelanggan. Semua peranan ini dimandatkan
melalui perjanjian agensi yang telah ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan KWAP. Daripada segi prestasi, Indeks
Tahap Perkhidmatan (SLA) bagi tahun 2022 telah menetapkan keperluan utama termasuk prestasi peratusan minimum
pada tahap 95%. Pengawasan terhadap prestasi SLA dipantau dan disemak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
menerusi mesyuarat jawatankuasa yang diadakan pada setiap bulan.
KWAP mencatat prestasi menjangkaui peratusan minimum SLA, dengan purata skor berwajaran sebanyak 98.42%
dari Januari sehingga Disember 2022, walaupun bilangan SLA bertambah daripada tujuh kepada 10 dengan
keperluan-keperluan yang lebih ketat. Sebagai perbandingan, skor wajaran bagi tahun 2021 adalah pada purata 98.26%.
PENAMBAHBAIKAN PROSES PERNIAGAAN
1. Papan Pemuka Business Intelligence (BI)
Pelaksanaan papan pemuka BI telah mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada ASEAN Social
Security Association (ASSA) dalam kategori Teknologi Maklumat semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah
ASSA ke-39 yang diadakan dari 23 hingga 24 November 2022 di Luang Prabang, Laos. Sejak ia dilancarkan
pada 2017, pelaksanaan BI telah banyak mempengaruhi dalam penambahbaikan proses perniagaan,
produktiviti dan pematuhan terhadap keperluan SLA.
2. Pelaksanaan Portal Semakan Maklumat Pesara di Hospital Kerajaan
KWAP melancarkan platform aplikasi berasaskan webnya, Portal Semakan Maklumat Pesara, pada Mei
2022 yang membolehkan kakitangan berkuasa di hospital dan klinik kerajaan untuk membuat pengesahan
kelayakan pesara dan tanggungan mereka dalam mengakses kelayakan manfaat perubatan. Pelaksanaan
portal ini bertujuan untuk menambah baik pengalaman pelanggan di hospital dan klinik tersebut bagi
memberikan proses pendaftaran yang lebih mudah serta mengurangkan masa menunggu.
Pesara yang telah memuat turun aplikasi MyPesara di peranti mudah alih mereka juga boleh menikmati
fungsi e-Kad Pesara yang tersedia dalam aplikasi tersebut. e-Kad Pesara diterima di hospital kerajaan yang
merupakan alternatif kepada kad pencen fizikal yang perlu ditunjukkan ketika mengakses perkhidmatan
penjagaan kesihatan awam.