Sumbangan Pendidikan dan Kemasyarakatan Selari Usaha Kerajaan Perkasa Komuniti Luar Bandar
BACHOK , 8 Mei 2025 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] hari ini melaksanakan dua program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dibawah Inisiatif Santuni MADANI yang merangkumi Program Sekolah Angkat MADANI dan Program Kampung Angkat MADANI di mana ia bakal memberi manfaat kepada sekolah-sekolah dan kampung terpilih di Daerah Bachok, Kelantan.
Melalui pendekatan ‘keseluruhan negara’ (whole-of-nation approach) yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, inisiatif ini menggalakkan kerjasama erat antara sektor awam, swasta dan masyarakat dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh, selaras dengan visi Malaysia MADANI untuk membina sebuah negara yang makmur dan berdaya tahan. Sehubungan itu, KWAP melaksanakan program ini sebagai usaha untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan komuniti luar bandar, selaras dengan Prinsip Kesejahteraan di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Inisiatif ini menggalakkan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan bagi memainkan peranan lebih aktif dalam memperkasa sistem pendidikan negara melalui Program Sekolah Angkat MADANI bersama sekolah-sekolah yang terpilih. Ia meliputi lima aspek utama iaitu:
- Bantuan infrastruktur dan kemudahan sekolah
- Program akademik dan bimbingan pelajar
- Latihan dan pembangunan guru
- Bantuan kewangan dan biasiswa
- Program pembangunan motivasi, sahsiah, STEM dan kemahiran insaniah.
Program Kampung Angkat MADANI pula merupakan antara agenda yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, bertujuan merapatkan jurang pembangunan dan kemudahan asas antara bandar dan luar bandar. Ia turut membawa semangat “Satu Kampung Satu Pemimpin” yang bertujuan memperkaya sikap cakna pemimpin yang sentiasa menyantuni dan menjadi teladan kepada penduduk kampung kelahiran, tempat membesar masing-masing atau kampung yang dipilih.
Bagi pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI, KWAP telah menyampaikan sumbangan kepada 10 buah sekolah rendah terpilih di Daerah Bachok iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kandis, SK Bakong, SK Kuchelong, SK Gunong, SK Keting, SK Pak Badol, SK Kubang Telaga, SK Kubang Golok, SK Bekelam dan SK Sri Kemunting, dimana jumlah keseluruhan pelajar sekolah-sekolah ini adalah lebih daripada 4,300 orang. Setiap sekolah ini telah menerima sumbangan sebuah unit TV pintar dan satu unit alat penghawa dingin bagi membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran serta menarik dan meransang proses pembelajaran yang lebih selasa dan kondusif. Pada masa yang sama, sebanyak 1,000 unit pek kelengkapan sekolah (Back-To-School) turut diagihkan kepada pelajar-pelajar yang terpilih bagi melancarkan persiapan mereka untuk ke sekolah.
Selain dari bantuan sosial dan infrastruktur, KWAP juga merancang untuk terus bekerjsama dengan Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah-sekolah angkat tersebut untuk mengenalpasti keperluan-keperluan lain yang dapat disumbangkan dan juga melaksanakan program susulan bagi memastikan impak program dapat dikekalkan secara berterusan dan memberi manfaat khususnya kepada para pelajar.
Sementara itu, Program Kampung Angkat MADANI bersama KWAP telah diadakan di Kampung Kandis, salah satu daripada lapan kampung yang terletak dalam Mukim Kandis, yang secara keseluruhan menempatkan kira-kira 4,000 orang penduduk. Program ini turut dihadiri oleh sebahagian penduduk dari semua kampung di mukim tersebut, menzahirkan semangat kebersamaan komuniti setempat. Kampung Kandis dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program berdasarkan keperluan sokongan sosial serta potensinya untuk memperkasa komuniti luar bandar melalui kerjasama pelbagai pihak.
Antara inisiatif awal yang dilaksanakan termasuk penyerahan sebuah unit van jenazah bagi kegunaan penduduk setempat serta pengagihan 100 unit pek MyPesara Prihatin yang mengandungi barangan keperluan asas kepada pesara kerajaan, asnaf dan golongan kurang berkemampuan. Van jenazah ini diperoleh melalui dana zakat wakalah hasil daripada sumbangan bulanan zakat pendapatan warga kerja KWAP yang mencarum kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP). Program ini turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti bersama sukarelawan yang terdiri dari kakitangan KWAP dan penduduk kampung secara langsung, sekali gus memupuk semangat kekitaan, kebersamaan dan perpaduan.
Kedua-dua program ini juga akan diteruskan secara berperingkat sepanjang tahun dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan sukarelawan KWAP serta kerjasama strategik bersama pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah Bachok, Universiti Malaysia Kelantan, Badan Bukan Kerajaan, Persatuan Pesara dan banyak lagi.
Sebagai sebuah institusi pelaburan jangka panjang yang menguruskan dana persaraan untuk penjawat awam, KWAP percaya bahawa prestasi cemerlang bukan sahaja terhasil daripada pelaburan kewangan semata-mata, tetapi juga daripada kesediaan meluangkan masa, tenaga dan komitmen untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Inisiatif seperti ini mencerminkan nilai MADANI yang seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
“KWAP turut melihat tanggungjawab sosial sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan negara. Inisiatif seperti ini bukan sahaja membawa manfaat kepada komuniti setempat, tetapi juga memperkukuh hubungan antara organisasi seperti kami dengan rakyat dalam mendukung semangat Malaysia MADANI,” kata Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP.
“Kami juga amat menghargai sokongan dan kerjasama erat yang telah diberikan oleh ketua-ketua kampung serta guru-guru besar di Daerah Bachok, yang menjadi penggerak utama kejayaan awal program ini. Diharapkan lebih ramai pihak akan turut sama menyertai usaha-usaha seumpama ini demi manfaat bersama,” tambah beliau.
Pelaksanaan Inisiatif Santuni MADANI ini menandakan komitmen KWAP dalam menyokong agenda kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara inklusif dan berterusan, selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia MADANI.
-TAMAT-