Sumbangan Pendidikan dan Kemasyarakatan Selari Usaha Kerajaan Perkasa Komuniti Luar Bandar
BACHOK , 14 Mei 2025 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] telah melaksanakan dua program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Santuni MADANI dan Sekolah Angkat MADANI yang akan memberi manfaat kepada komuniti kampung dan sekolah-sekolah terpilih dalam Daerah Bachok, Kelantan.
Melalui pendekatan “whole-of-nation” yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, program-program ini menggalakkan kerjasama erat antara sektor awam, swasta dan masyarakat dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan menyeluruh, selaras dengan visi Malaysia MADANI untuk membina sebuah negara yang makmur dan berdaya tahan. Sehubungan itu, KWAP melaksanakannya sebagai usaha untuk menyumbang secara langsung kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan komuniti luar bandar, selaras dengan Prinsip Kesejahteraan di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Program Sekolah Angkat MADANI secara umumnya menggalakkan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan untuk memainkan peranan lebih aktif dalam memperkasa proses pendidikan negara bersama sekolah-sekolah terpilih yang meliputi lima aspek utama iaitu:
- Bantuan infrastruktur dan kemudahan sekolah
- Program akademik dan bimbingan pelajar
- Latihan dan pembangunan guru
- Bantuan kewangan dan biasiswa
- Program pembangunan motivasi, sahsiah, STEM serta kemahiran insaniah.
Program Santuni MADANI yang berorientasikan semangat “Satu Pemimpin, Satu Kampung” bertujuan memperkaya sikap cakna pemimpin dalam menyantuni dan menjadi teladan kepada penduduk kampung kelahiran, tempat membesar masing-masing atau kampung yang dipilih.
Program Sekolah Angkat MADANI telah dihadiri lebih 300 murid, ibu bapa dan guru-guru. KWAP telah menyalurkan sumbangan kepada 10 buah sekolah rendah terpilih di Daerah Bachok yang memanfaatkan lebih daripada 4,300 pelajar. Setiap sekolah menerima sumbangan satu unit TV pintar dan satu unit alat penghawa dingin bagi membantu melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif.
Sekolah-sekolah terpilih dalam daerah Bachok yang menerima manfaat melalui program Sekolah Angkat MADANI adalah:
- Sekolah Kebangsaan Bakong;
- Sekolah Kebangsaan Bekelam;
- Sekolah Kebangsaan Gunong;
- Sekolah Kebangsaan Kandis;
- Sekolah Kebangsaan Keting;
- Sekolah Kebangsaan Kubang Golok;
- Sekolah Kebangsaan Kubang Telaga;
- Sekolah Kebangsaan Kuchelong;
- Sekolah Kebangsaan Pak Badol; dan
- Sekolah Kebangsaan Sri Kemunting.
Pada masa yang sama, sebanyak 1,000 unit pek kelengkapan sekolah (Back-To-School) turut diagihkan kepada pelajar-pelajar terpilih bagi membantu persiapan mereka untuk ke sekolah.
Sementara itu, Program Santuni MADANI telah diadakan di Kampung Kandis, iaitu kampung tajaan KWAP dan merupakan salah satu daripada lapan kampung di dalam Mukim Kandis yang menempatkan kira-kira 4,000 orang penduduk secara keseluruhannya. Program ini dihadiri lebih 500 penduduk tempatan, sekali gus menzahirkan semangat kebersamaan dan perpaduan komuniti setempat.
Kampung Kandis dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program berdasarkan keperluan sokongan sosial serta potensinya untuk memperkasa komuniti luar bandar melalui kerjasama pelbagai pihak. Antara inisiatif awal yang dilaksanakan termasuk penyerahan sebuah unit van jenazah bagi kegunaan penduduk setempat serta pengagihan 100 unit pek MyPesara Prihatin yang mengandungi barangan keperluan asas kepada pesara kerajaan, asnaf dan golongan kurang berkemampuan. Van jenazah ini merupakan sumbangan dana zakat wakalah hasil daripada pembayaran zakat pendapatan warga kerja KWAP yang mencarum kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Program ini turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti bersama sukarelawan yang terdiri dari kakitangan KWAP dan penduduk kampung, sekali gus memupuk semangat kekitaan, kebersamaan serta perpaduan.
Selain bantuan sosial, KWAP merancang untuk meneruskan kedua-dua program tersebut secara berperingkat pada sepanjang tahun dengan pelbagai program susulan dan aktiviti yang melibatkan sukarelawan KWAP serta kerjasama strategik bersama pihak berkuasa tempatan serta komuniti setempat termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah Bachok, Universiti Malaysia Kelantan, Badan Bukan Kerajaan, Persatuan Pesara dan banyak lagi.
Sebagai sebuah institusi pelaburan jangka panjang yang menguruskan dana persaraan untuk penjawat awam, KWAP percaya bahawa prestasi cemerlang bukan sahaja terhasil daripada pelaburan kewangan semata-mata, tetapi juga daripada kesediaan meluangkan masa, tenaga dan komitmen untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Inisiatif seperti ini mencerminkan nilai MADANI yang seimbang antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
“KWAP melihat tanggungjawab sosial sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan negara. Inisiatif seperti ini bukan sahaja membawa manfaat kepada komuniti setempat, tetapi juga memperkukuh hubungan antara organisasi seperti kami dengan rakyat dalam mendukung semangat Malaysia MADANI,” kata Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP.
“Kami juga amat menghargai sokongan dan kerjasama erat yang telah diberikan oleh ketua-ketua kampung serta guru-guru besar di Daerah Bachok, yang menjadi penggerak utama kejayaan awal program ini. Diharapkan lebih ramai pihak akan turut sama menyertai usaha-usaha seumpama ini demi manfaat bersama,” tambah beliau.
Pelaksanaan Program Santuni MADANI dan Program Sekolah Angkat MADANI ini membuktikan komitmen KWAP dalam menyokong agenda kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai secara inklusif dan berterusan, selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia MADANI.
-TAMAT-