Sebelum 1 Januari 1979, tanggungjawab untuk mengutip caruman pencen ini telah dijalankan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Lain-lain agensi kerajaan yang terlibat dalam mengutip caruman pencen ialah Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbendaharaan Malaysia dan Jabatan Akauntan Negara. Berkuatkuasa 1 Mac 2007 kutipan caruman pencen adalah di bawah tanggungjawab Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).

Caruman pencen yang diterima terdiri daripada caruman Kerajaan Persekutuan, Caruman Majikan dan Syer Kerajaan.
Majikan penyumbang terdiri daripada badan berkanun, pihak berkuasa tempatan dan agensi yang mempunyai pekerja berpencen.
Majikan adalah bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas perkara berikut:
Pendaftaran Ahli
Majikan perlu mendaftarkan semua kakitangannya yang telah diberikan taraf pencen, sebagai ahli KWAP dalam tempoh 14 hari dari tarikh Pemberian Taraf Berpencen (PTB).
Nombor Ahli KWAP yang diberikan hendaklah digunakan apabila membuat bayaran caruman pencen kakitangan.
Bayaran Caruman Pencen
Majikan hendaklah membayar caruman pencen untuk kakitangannya yang telah diberikan taraf pencen pada kadar 17.5% dari gaji hakikinya.
Majikan hendaklah melengkapkan borang-borang caruman yang berkaitan (Format 1, 2, 2C dan 3) dengan maklumat yang tepat.
Bayaran caruman pencen hendaklah dibuat selewat-lewatnya pada hari terakhir bulan berikutnya.
Resit bayaran hendaklah disimpan tidak kurang dari 7 tahun
Caruman pencen untuk kakitangan yang diberi cuti belajar hendaklah dibayar dalam amaun yang penuh untuk tempoh cuti belajar yang diluluskan.
Caruman Pegawai Pinjaman
- Majikan perlu memaklumkan kepada KWAP sekiranya terdapat pegawai pinjaman dengan memberikan maklumat lengkap mengenai peminjaman pegawai tersebut.
Majikan iaitu agensi peminjam hendaklah membayar caruman pencen untuk pegawai pinjaman yang mempunyai taraf berpencen sepanjang tempoh peminjamannya.
Kadar caruman pencen yang perlu dibayar ialah 17.5% dari gaji hakiki pegawai pinjaman tersebut.
Majikan perlu memaklumkan kepada KWAP sekiranya berlaku penamatan tempoh pinjaman.
Pertukaran Nama / Status Majikan
- Majikan perlu memaklumkan kepada KWAP secara bertulis jika berlaku sebarang pertukaran nama / status majikan dalam tempoh 14 hari dari tarikh perubahan tersebut.
Pertukaran Alamat
- Majikan perlu memaklumkan kepada KWAP secara bertulis jika berlaku pertukaran alamat / perhubungan perniagaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pertukaran tersebut.