KWAP menyumbangkan dron kepada PDRM bagi urusan pemantauan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)


Kuala Lumpur, 24 April 2020 –   Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] telah menyumbangkan dron dan aksesori bernilai RM100,000 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu usaha pemantauan mereka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam membendung penyebaran Wabak COVID-19 di negara ini.

Pemberian dron ini adalah sumbangan tambahan dari KWAP untuk membantu meningkatkan tahap operasi PDRM untuk memberikan liputan yang lebih luas bagi pemantauan kawasan yang sukar dijangkau. Usaha ini juga merupakan kerjasama dengan salah satu syarikat portfolio teknologi KWAP, Aerodyne Group, yang  merupakan sebuah syarikat global yang menyediakan solusi dan perkhidmatan pengurusan aset berasaskan dron. Teknologi ini akan digunapakai oleh PDRM dalam pemantauan udara sepanjang PKP. Aerodyne juga  akan  berkongsi kemahiran dan melatih anggota-anggota PDRM supaya dapat menggunakan semua ciri-ciri pemantauan canggih yang dilengkapi pada dron-dron tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Syed Hamadah Syed Othman menegaskan bahawa ini adalah masa yang sangat penting bagi organisasi untuk menggunakan kemahiran dan kemampuannya dalam menghulurkan bantuan kepada semua.

"Sebagai sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan di Malaysia, KWAP ingin menyumbang dan membantu negara pada masa yang sukar ini. Usahasama dengan Aerodyne Group yang akan berkongsi kepakaran mereka dalam bidang ini akan membolehkan kami memberikan bantuan tambahan kepada barisan hadapan kita ketika mereka menjalankan tugas tanpa henti untuk mengawal penyebaran wabak di Malaysia."

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Kamarul A Muhamed berkata, "Tugas kami yang menyumbang kepada usaha PDRM, dan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami, adalah sangat berkesan. Kami juga telah mengembangkan platform turnkey untuk pengurusan data yang diperolehi oleh dron yang memberikan maklumat masa nyata untuk menyokong proses membuat keputusan dan peruntukan sumber. Kami kini mempunyai 23 pasukan di lapangan, dan dron tambahan dari KWAP ini akan membantu kami untuk menyokong PDRM dalam memperluaskan jangkauan penguatkuasaan semasa PKP. "

Syed Hamadah turut menekankan, "Kami peka akan tanggungjawab kami untuk memberi impak positif kepada masyarakat, dan inisiatif ini adalah selaras dengan Garis Panduan Alam Sekitar, Sosial dan Pentadbiran (ESG) KWAP yang merangkumi pelbagai isu sosial. Selain dari sumbangan ini, KWAP juga telah menyumbang sebanyak RM500,000 melalui Sumbangan Kolektif GLC / GLIC Disaster Relief Network (GDRN). Sumbangan melalui GDRN ini bertujuan bagi membantu memenuhi permintaan dari hospital-hospital tempatan untuk peralatan perubatan, alat pelindung diri (PPE), ventilator, bekalan makanan, dan juga badan-badan NGO yang berkaitan,"

Dron ini dilengkapi dengan teknologi seperti kamera termal, sistem bantuan juruterbang, analisis, dan sokongan operasi secara langsung yang dapat mengumpulkan gambar pegun, rakaman video dan video secara langsung dengan lancar sambil memberikan maklumat hampir masa nyata di kawasan yang agak mencabar untuk diakses dengan cara berjalan kaki atau melalui kenderaan darat oleh PDRM semasa menjalankan operasi mereka.

Ini juga akan membantu memastikan kepatuhan selama PKP serta menyokong fungsi utama penguatkuasaan dengan penggunaan teknologi yang meliputi pemantauan, rondaan, dan pengendalian orang ramai. Selain dari data visual, beberapa dron itu juga mengumpulkan data termal. Ini boleh ditanda geotag untuk membolehkan analisis statistik dilakukan dalam menilai risiko di kawasan yang ditentukan dan mengklasifikasikan zon merah.


 KWAP donates drones to PDRM.PNG

Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato' Seri Abdul Hamid Bador telah menerima sumbangan dron tersebut daripada Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, dengan disaksikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, yang juga merupakan Pengerusi KWAP.​

- TAMAT -​