KWAP ANJURKAN "KARNIVAL RASA SAYANG" UNTUK MENGGALAKKAN PERSEDIAAN PERSARAAN & PENUAAN AKTIF ​

Karnival yang julung kalinya diadakan ini padat dengan aktitiviti-aktiviti istimewa untuk para pesara dan keluarga mereka

Ipoh, Perak, 24 November 2018 – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] telah menganjurkan Karnival Rasa Sayang buat pertama kalinya hari ini di Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak. Lebih daripada 2,000 pengunjung yang terdiri daripada pesara dan bakal pesara serta penduduk sekitar Ipoh menghadiri karnival ini bersama keluarga mereka.

Karnival ini merupakan kesinambungan inisiatif yang dibawakan KWAP bagi mengambil pendekatan yang lebih holistik dalam menjalankan peranannya menjangkaui aspek pelaburan dan hal ehwal pentadbiran pencen. Justeru itu, ia direka berdasarkan lima tunjang utama untuk persaraan yang aktif dan lebih bermakna iaitu daripada segi kewangan, kesihatan, persekitaran, psikologi dan sosial.

Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan di karnival ini termasuklah bengkel perancangan kewangan, demonstrasi masakan makanan sihat, seminar kembali bekerja selepas bersara, ceramah daripada pakar kesihatan tentang pencegahan penyakit untuk warga emas, gerai pameran yang menawarkan pelbagai perkhidmatan berkenaan persaraan, dan banyak lagi program berbentuk pendidikan dan aktiviti yang menarik untuk seisi keluarga.

"Karnival Rasa Sayang anjuran KWAP ini adalah usaha berterusan kami untuk memperkasakan kehidupan golongan bakal pesara dan pesara supaya mereka dapat melalui alam persaraan dengan lebih bermakna, bersemangat dan gembira. Kami ingin mengubah pendapat segelintir pesara yang melihat persaraan sebagai suatu perakhiran semata-mata, dan sebaliknya menggalakkan mereka untuk melihat fasa ini sebagai pembaharuan hidup yang membawa pelbagai jenis peluang untuk menikmati persaraan yang lebih sihat, aktif dan produktif", kata Syed Hamadah Othman, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP.

"Sebagaimana kita sedia maklum,  golongan warga emas di Malaysia semakin meningkat, di mana rakyat berumur 65 tahun dan ke atas dijangka membentuk 35 peratus daripada keseluruhan populasi menjelang akhir abad ini. Melalui program Karnival Rasa Sayang ini, KWAP telah mengambil pendekatan yang proaktif dalam menghadapi cabaran masa hadapan untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan warga emas," tambah Syed Hamadah. 

Program dan aktiviti yang diadakan di karnival ini adalah berpandukan satu penyelidikan hasil kerjasama KWAP dan Institut MyAgeing daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), sebuah institusi yang mempunyai kepakaran dalam kajian bidang gerontologi. Laporan yang bertajuk "Kesediaan Persaraan dan Penuaan Produktif di kalangan Kakitangan Kerajaan dan Pesara di Lembah Klang" ini mengenalpasti jenis bantuan yang paling diperlukan oleh golongan bakal pesara dan pesara, terutamanya berkaitan dengan kewangan dan kesihatan mereka.  

Berdasarkan cadangan yang diketengahkan oleh kajian ini, KWAP juga bekerjasama dengan pihak-pihak yang relevan dalam ekosistem persaraan kebangsaan untuk menganjurkan pelbagai aktiviti yang ditawarkan untuk pengunjung. Lebih daripada tiga puluh rakan kongsi perkhidmatan strategik telah dipilih untuk mengambil bahagian dalam karnival ini, termasuklah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Jabatan Perkhidmatan Awam, KPJ Healthcare, Mydin, Amanah Raya Berhad, PERHEBAT, Hire.Seniors dan banyak lagi.  

Antara elemen utama yang turut diberi fokus di karnival ini adalah satu zon pengetahuan interaktif yang memuatkan pelbagai informasi berkaitan semua tunjang utama untuk persaraan yang bermakna. KWAP juga turut mempromosi aplikasi MyPesara fasa baharu untuk dimuat turun dan memperkenalkan rangkaian perkhidmatan baharu berkaitan kewangan dan kesihatan serta program manfaat berdasarkan keperluan pesara. Zon MyPesara turut disediakan untuk memberi panduan penuh fungsi-fungsi aplikasinya kepada para pengunjung.

Selain itu, karnival ini juga disertai oleh personaliti tempatan seperti Fizo Omar, Dato' Ustaz Badli Shah Alauddin dan Chef Adamdidam yang berinteraksi dengan pengunjung serta berkongsi tips dan nasihat penting mengenai perancangan dan persediaan untuk persaraan aktif. Zon Ceria Kanak-kanak juga merupakan salah satu tarikan dengan aktitivi-aktiviti yang menyeronokkan untuk pengunjung kanak-kanak sementara ibubapa mereka meneroka aktiviti lain yang ada di tapak karnival. 

- TAMAT –