Penerima Faedah Terbitan

Pemberian Faedah Terbitan
Berikut adalah senarai faedah terbitan yang layak diterima oleh waris yang berkelayakan mengikut undang-undang pencen yang berkuatkuasa:​

  • Ganjaran Terbitan
Pemberian faedah yang dibayar sekaligus kepada tanggungan anggota yang meninggal dunia di dalam perkhidmatan atau wakil yang sah di sisi undang-undang.

  • Gantian Cuti Rehat Terbitan
Pembayaran sekaligus kepada tanggungan anggota yang meninggal dunia di dalam perkhidmatan atau wakil yang sah di sisi undang-undang bagi cuti rehat yang tidak dihabiskan semasa di dalam perkhidmatan.

  • ​​Pencen Terbitan
Pencen bulanan yang terbit disebabkan oleh kematian anggota/pesara sektor awam, dibayar kepada orang-orang tanggungan anggota/pesara seperti mana yang diperuntukkan oleh Undang-Undang pencen berkenaan.​​
Waris Yang Layak Menerima Faedah Terbitan
​Senarai yang layak menerima pencen terbitan:

  • ​​​Balu atau Duda
  • ​​​Anak yang berumur 21 tahun dan ke bawah dan masih belum berkahwin.

​​Pengecualian anak ber​​umur 21 tahun untuk menerima pencen terbitan :

  • Anak cacat layak untuk menerima pencen terbitan dengan syarat kecacatan tersebut dialami sebelum anak itu mencapai umur 21 tahun dan kecacatan tersebut menyebabkan anak tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri  
  • Anak yang sedang mendapat pendidikan di IPT tetapi tidak melebihi pelajaran yang menuju ke arah ijazah pertama layak menerima pencen terbitan sehingga tamat pengajian tersebut.​​​​
Pecahan/Pengagihan Faedah Terbitan
Ganjaran Terbitan dan Gantian Cuti Rehat Terbitan

  • Balu atau Duda dan Anak     - 9/10 
  • Ibu atau Bapa Tanggungan  -  1/10
*Jika ketiadaan penerima-penerima di atas, ganjaran terbitan dan gantian cuti rehat terbitan boleh diberi kepada wakil yang sah di sisi undang-undang.
Pencen Terbitan

  • Balu / duda (2 syer setiap seorang)​​​​
  • Anak (1 syer setiap seorang)​

Proses Permohonan Faedah Terbitan
Bagi kes kematian dalam perkhidmatan, permohonan faedah terbitan adalah diuruskan oleh Jabatan terakhir arwah (pegawai) berkhidmat. Bahagian Sumber Manusia Jabatan terakhir arwah perlu mengemukakan dokumen dan borang permohonan kepada KWAP untuk prosesan faedah persaraan dilakukan.

Permohonan faedah terbitan bagi kematian dalam persaraan boleh dibuat waris pesara dengan melengkapkan borang JPA.BP.SPT.B01d​ permohonan faedah terbitan bagi kematian dalam persaraan (muat turun​)​
Kelayakan Untuk Menerima Pencen terbitan Bagi Perkahwinan dalam Perkhidmatan dan Perkahwinan Dalam Persaraan
Senarai kelayakan penerima pencen terbitan:

  • ​Bagi pasangan yang dikahwini pegawai semasa masih dalam perkhidmatan, pencen terbitan layak dibayar seumur hidup balu / duda tersebut​
  • Bagi perkahwinan yang berlaku setelah persaraan pegawai, kelayakan balu / duda untuk menerima pencen terbitan adalah terhad kepada 20 tahun dari tarikh persaraan pegawai.​

Anak Gemulah Yang Melanjutkan Pengajian Di Institut Pengajian Tinggi
Pemberian pencen terbitan untuk anak akan dihentikan apabila anak berkenaan mencapai umur 21 tahun. Walau bagaimanapun, pembayaran pencen terbitan akan dilanjutkan jika anak berkenaan melanjutkan pelajaran sehingga peringkat ijazah pertama.

Permohonan pencen terbitan untuk anak IPT boleh dibuat dengan menggunakan Borang JPA.BP.SPT.B03A (muat turun​)​
Memaklumkan Kematian Pesara / Penerima Pencen Terbitan

Waris boleh melaporkan kematian pesara dengan menghubungi Bahagian ini di talian 03-8887 8777. Waris juga boleh memaklumkan kematian dengan hadir terus ke kaunter perkhidmatan Bahagian Pengurusan Pencen KWAP. Sila kemukakan  salinan sijil kematian arwah dikemukakan semasa pemakluman dilakukan. ​​

Permohonan Bantuan Mengurus Jenazah
Bayaran bantuan mengurus jenazah di buat kepada waris Pesara Kerajaan Malaysia yang meninggal dunia pada dan selepas 15 Oktober 2010 termasuk pesara yang memilih skim KWSP (Sebelum tarikh ini,tiada bayaran yang diberikan apabila pesara meninggal dunia). Permohonan boleh dibuat dengan menggunakan borang JPA.BP.UMUM.BMJ​​ (muat turun​)

​Sebagai makluman juga, pembayaran BMJ hanya dibuat apabila berlaku kematian kepada pesara sahaja dan tidak dibuat apabila penerima pencen terbitan meninggal dunia.​​​​​​​
Menuntut Baki Pencen
Jika setelah kematian gemulah, tiada lagi balu/duda atau anak yang layak untuk menerima pencen terbitan, waris perlu mengisi borang baki pencen JPA.UMUM.BK untuk menuntut apa-apa baki bayaran pencen yang belum dibuat kepada gemulah (jika ada)​​​ (muat turun​​​)​​