​Mengenai​ Pelaburan​​

Objektif Pelaburan

KWAP berhasrat untuk memaksimumkan kadar pulangan terlaras jangka panjang bagi meningkatkan nilai sebenar dana. KWAP mensasarkan kadar pulangan terlaras nominal sebanyak 8% setahun bagi tempoh ‘rolling’ selama 5 tahun. Tempoh lima (5) tahun ini bermula sebaik saja Pengagihan Aset Strategik dicapai sepenuhnya.

Falsafah Pelaburan

KWAP mencari strategi pelaburan aktif dan pasif dalam melaburkan dana. Secara umumnya, KWAP melabur terus dalam kelas-kelas aset yang diluluskan. Selain itu, KWAP melaburkan sebahagian daripada dana menerusi perlantikan pengurus dana luar bagi tujuan diversifikasi dan perbandingan dengan pengurus dana lain. KWAP juga akan sentiasa mengelak dari melabur dalam syarikat yang terlibat dalam alkohol, tembakau, perjudian dan pengeluaran barangan ketenteraan.

Garis Panduan dan Dasar Pelaburan

Secara amnya, Dasar dan Garis Panduan Pelaburan (IPG) KWAP adalah sebuah dokumen yang mengandungi panduan lanjut dan dasar utama berkaitan melibatkan proses membuat keputusan pelaburan. Antara aspek utama yang terkandung di dalam IPG termasuk kelas-kelas aset yang dibenarkan, Pengagihan Aset Strategik, tanda aras prestasi pelaburan dan had taktikal. Berikut adalah objektif utama IPG. Kami hanya dibenarkan memaparkan sebahagian daripada dokumen tersebut kerana kandungan IPG adalah sensitif.

Alokasi Aset Strategik

KWAP telah menjadikan Alokasi Aset Strategik (SAA) sebagai elemen utama dalam membuat keputusan pelaburan. SAA yang sesuai adalah kritikal bagi pelaburan dana dalam kelas-kelas aset yang mempunyai nisbah risiko–pulangan yang paling optimal. Ia telah sedia maklum dan terbukti secara empirikal bahawa pengagihan aset merupakan pemacu utama prestasi pelaburan berbanding pemasaan pasaran (market timing) dan pemilihan sekuriti (security selection).

Pertimbangan Etika

KWAP berpegang kepada kepentingan untuk melandaskan aktiviti-aktiviti dan pelaburan yang berlandaskan prinsip-prinsip etika berdasarkan kesesuaian dan keperluan. Pertimbangan tersebut diselaraskan dengan objektif dan matlamat pelaburan KWAP.