​Warga​ Kerja​​​

Tenaga Kerja Adalah Aset Utama Kami

Keupayaan kami untuk terus mencapai matlamat dan melepasi sasaran yang ditetapkan berkait rapat dengan kualiti individu yang berkhidmat dalam organisasi ini. Individu berkebolehan tinggi yang terlatih dan bermotivasi tinggi merupakan aset utama dan pelaburan kami yang paling menguntungkan. 

Sebagai organisasi yang terus mengejar prestasi dan kecemerlangan, kami sentiasa memberikan tumpuan terhadap pembangunan warga kerja dengan menawarkan Proposisi Nilai Warga Kerja berikut: 

  • Kami memberi peluang kepada individu untuk menyumbang ke arah pembangunan industri pengurusan dana negara
  • Kami menyediakan peluang peningkatan peribadi dan profesional
  • Kami menawarkan ganjaran yang berdaya saing dan persekitaran kerja yang menggalakkan
Membangunkan Warga Kerja

​Komitmen kami terhadap pembangunan warga kerja terbukti melalui peluang-peluang latihan dan pembangunan yang ditawarkan kepada kakitangan di setiap peringkat. Di samping program-program latihan rasmi yang disediakan, kami sentiasa menggalakkan kakitangan untuk mengembangkan jaringan perhubungan di kalangan warga industri dan mengemaskini maklumat dan pengetahuan berkaitan perkembangan terkini di dalam industri dengan menyertai seminar-seminar yang dianjurkan di dalam dan juga luar negara.

Sebagai sebuah organisasi yang berpegang kepada nilai pembelajaran berterusan di kalangan warga kerja, perkongsian pengetahuan dan maklumat merupakan antara inisiatif yang sentiasa diberi penekanan. Untuk itu, sesi perkongsian pengetahuan sering dijalankan di kalangan kakitangan bagi memastikan perkongsian dan perpindahan pengetahuan dan maklumat sentiasa berlaku di dalam organisasi.

Di dalam usaha membentuk kakitangan yang berkebolehan menyeluruh, kami turut menumpukan usaha membangunkan keyakinan diri, kebolehan kepimpinan dan kemahiran pengurusan kakitangan melalui berbagai-bagai jenis inisiatif. Antara insiatif-inisiatif yang dimaksudkan termasuklah sesi pengucapan umum di mana kakitangan digalakkan untuk menyampaikan pengucapan umum berkaitan tajuk-tajuk pilihan mereka, penyertaan di dalam sesi perbincangan kajian kes-kes perniagaan dan juga berkongsi pandangan dan idea di dalam sesi persembahan video pengurusan yang disampikan oleh speaker-speaker dan tokoh-tokoh terkenal di dalam bidang pengurusan.​
Pengurusan Prestasi

Komitmen kami di dalam membentuk budaya kerja berprestasi tinggi di organisasi ini dapat dibuktikan dengan pengenalan akauntabiliti yang jelas dan Petunjuk Utama Prestasi (KPI) bagi setiap kakitangan. Bagi memastikan kejayaan organisasi, tumpuan diberikan terhadap pembentukan jangkaan dan matlamat yang jelas di kalangan kakitangan dan para pemimpin, dan di dalam memastikan jangkaan dan matlamat tersebut selaras dengan objektif perniagaan KWAP.

Kami berusaha membina sebuah organisasi yang unik, memiliki kualiti pengurusan yang cemerlang, mengamalkan keterbukaan dan memiliki keinginan tinggi bagi mencapai kecemerlangan. Di KWAP, kami sentiasa menghargai prestasi dan mengiktiraf kecemerlangan.​
Keseimbangan Hidup

Di sebalik tuntutan tugas yang mencabar di dalam memenuhi matlamat organisasi, kami sentiasa memberi penekanan terhadap keseimbangan di antara kerjaya dan kehidupan peribadi. Kami berusaha gigih bagi memastikan kakitangan KWAP dapat menikmati suasana kerja yang harmoni dan kondusif di pejabat. Kami percaya bahawa prestasi kerja anggota adalah berkait rapat dengan keupayaan mereka mengekalkan keseimbangan di antara kerjaya dan kehidupan peribadi. 

Di dalam mencapai matlamat tersebut, kami sentiasa menggalakkan kakitangan menyertai aktiviti-aktiviti kesihatan, sukan dan tanggungjawab sosial korporat. 

Di samping mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan kakitangan, KWAP turut menerima baik dan meraikan sumbangan ahli-ahli keluarga kakitangan terhadap kejayaan organisasi melalui aktiviti-aktiviti seperti hari keluarga, majlis makan malam tahunan dan berbagai-bagai majlis keraian lain.​​