Penyata Tadbir Urus​

​LEMBAGA


Selama ini, Lembaga KWAP telah memastikan bahawa perniagaan dan hal ehwal KWAP mengikut secara tegas kepada prinsip-prinsip tadbir urus korporat yang baik seperti integriti, ketelusan dan profesionalisme yang merupakan antara komponen utama yang menyumbang kepada kemajuan berterusan organisasi dan kejayaan ke arah mencapai objektif pihak berkepentingan.

 

Untuk memastikan piawaian terbaik dari segi integriti dan etika perniagaan, profesionalisme haruslah dipraktikkan. Walaupun KWAP tidak perlu mematuhi Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia, Lembaga telah menerima pakai amalan terbaik tadbir urus untuk memastikan bahawa piawaian tertinggi tadbir urus korporat diamalkan untuk melindungi dan meningkatkan nilai pihak berkepentingan.

Komposisi Lembaga


KWAP diketuai dan diuruskan oleh ahli-ahli Lembaga yang berpengalaman dan berkemahiran dengan pelbagai latar belakang dari Kerajaan, sektor swasta, Bank Negara Malaysia dan wakil pencarum. Mereka semua adalah penting bagi kejayaan strategik keseluruhan KWAP.

Seperti yang dinyatakan dalam seksyen 6 Akta Kumpulan Wang Persaraan (Akta 662), Lembaga adalah dianggotai oleh ahli-ahli berikut yang dilantik oleh Menteri Kewangan:

(i) seorang Pengerusi yang merupakan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan;
(ii) seorang wakil daripada Bank Negara Malaysia;
(iii) seorang wakil daripada Kementerian Kewangan;
(iv) Ketua Pegawai Eksekutif yang merupakan ahli ex-officio;
(v) tiga (3) orang wakil Kerajaan Malaysia;
(vi) tiga (3) orang dari sektor swasta yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perniagaan atau kewangan; dan
(vii) seorang wakil pencarum yang menyumbang kepada Dana Persaraan selain daripada wakil Kerajaan Malaysia.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif


Sebagai amalan terbaik, peranan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif perlu diasingkan. Pengerusi KWAP bertanggungjawab untuk memastikan keberkesanan dan tatacara Lembaga manakala Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, dilantik dengan sewajarnya oleh Lembaga dengan kelulusan Menteri Kewangan, bertanggungjawab untuk keseluruhan operasi perniagaan dan pelaksanaan dasar, dan keputusan yang dibuat oleh Lembaga dan keputusan pelaburan yang dibuat oleh Panel Pelaburan mengikut Akta. Ketua Pegawai Eksekutif dibantu oleh pengurusan dalam menjalankan pentadbiran harian KWAP dan kawalan pentadbiran tenaga kerjanya.

Tugas dan Tanggungjawab Lembaga


Lembaga ditubuhkan untuk mentadbir dan mengurus KWAP dengan kaedah yang akan meningkatkan kepentingan setiap pencarum dan pihak berkepentingan. Fungsi Lembaga adalah untuk merangka polisi dan prosedur pentadbiran dan pengurusan untuk memastikan bahawa KWAP mencapai objektifnya dengan jaya dan cemerlang.

Lembaga melaksana beberapa tugas khusus seperti mengawal selia perjalanan operasi, mengenal pasti risiko-risiko utama dan memastikan pelaksanaan sistem yang sesuai untuk mengurus risiko berkaitan dan juga mengkaji kecukupan dan integriti sistem kawalan dalaman seperti yang diperincikan dalam Akta dan Piagam Lembaga.

PANEL PELABURAN


Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) juga memperuntukkan penubuhan Panel Pelaburan untuk menentukan hala tuju strategik untuk perkara berhubung pelaburan. Ia menentukan dan meluluskan dasar pelaburan dan peraturan, dasar pengurusan risiko, alokasi asset dan arah tuju strategik pelaburan.

Komposisi Panel Pelaburan


Panel Pelaburan terdiri daripada ahli-ahli berikut yang dilantik oleh Menteri Kewangan:-

(i) seorang Pengerusi yang merupakan Pengerusi Lembaga;
(ii) seorang wakil daripada Bank Negara Malaysia;
(iii) seorang wakil daripada Kementerian Kewangan;
(iv) Ketua Pegawai Eksekutif KWAP yang merupakan setiausaha; dan
(v) tiga (3) orang lain daripada sektor swasta yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam perniagaan atau kewangan.

Tugas Utama dan Tanggungjawab Panel Pelaburan

Panel Pelaburan secara amnya bertanggungjawab untuk meluluskan antara lain, hala tuju strategik KWAP bagi semua perkara berkaitan dengan pelaburan KWAP, dasar dan garis panduan pelaburan, alokasi aset dan cadangan pelaburan. Dalam melaksanakan fungsinya, Panel Pelaburan hendaklah melaporkan aktivitinya kepada Lembaga dan hendaklah bertindak mengikut dasar am yang boleh dikeluarkan oleh Lembaga dan seterusnya diluluskan oleh Menteri Kewangan.

JAWATANKUASA LEMBAGA


Bagi membantu Lembaga dalam melaksanakan tugas mereka, Lembaga telah menubuhkan beberapa jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Audit, Jawatankuasa Pengurusan Risiko, Jawatankuasa Imbuhan dan Jawatankuasa Lembaga Perolehan. Semua Jawatankuasa Lembaga mempunyai terma rujukan bertulis yang dikaji dari masa ke semasa untuk memastikan bahawa ia adalah relevan dan terkini.

JAWATANKUASA AUDIT


Jawatankuasa Audit telah ditubuhkan untuk memastikan penubuhan dan perlaksanaan sistem kawalan dalaman di KWAP.

Tugas dan Tanggungjawab Jawatankuasa Audit


Berikut adalah tugas dan tanggungjawab Jawatankuasa Audit:

(i) Untuk mencadangkan dan mengkaji peraturan-peraturan kewangan, peraturan perakaunan, dasar dan amalan;
(ii) Untuk mengkaji dan membincangkan asas dan bidang audit dalaman dan luaran dan memastikan pendekatan selaras antara juruaudit dalaman dan luaran;
(iii) Untuk mengkaji penyata kewangan KWAP dengan pengurusan dan juruaudit sebelum ia diluluskan oleh Lembaga;
(iv) Untuk membincangkan masalah dan keraguan yang timbul daripada audit interim dan audit akhir dan sebarang perkara yang juruaudit ingin bincangkan (bila diperlukan semasa ketiadaan pihak pengurusan);
(v) Untuk mengkaji pemerhatian audit oleh juruaudit luaran dan tindakan susulan pengurusan;
(vi) Untuk mempertimbangkan penemuan utama siasatan dalaman dan tindak balas pengurusan;
(vii) Untuk mengarahkan sebarang siasatan khas dijalankan oleh juruaudit dalaman dan mengkaji penemuan juruaudit dalaman;
(viii) Untuk mempertimbangkan sebarang urusniaga pihak berkaitan yang mungkin timbul dalam KWAP;
(ix) Untuk menyediakan penilaian bebas mengenai kecukupan dan kebolehpercayaan proses pengurusan risiko dan sistem kawalan
dalaman dan pematuhan dengan dasar risiko, undang-undang, garis panduan dalaman dan keperluan peraturan;
(x) Untuk mengkaji perubahan Prosedur Kewangan;
(xi) Untuk mempertimbangkan isu-isu lain seperti yang ditakrifkan oleh Lembaga.

Juruaudit luar KWAP adalah Ketua Audit Negara Malaysia sebagaimana yang ditentukan oleh Akta Badan-Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 [Akta 240].

JAWATANKUASA PENGURUSAN RISIKO


Jawatankuasa Pengurusan Risiko telah ditubuhkan untuk membantu Lembaga dalam melaksanakan tugas-tugas berkaitan pengurusan risiko.

Tugas dan Tanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Risiko


Berikut adalah tugas dan tanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Risiko:
(i) untuk membentuk dan menjalankan strategi dan dasar pengurusan risiko;
(ii) untuk menilai dan meluluskan cadangan mengenai polisi pengurusan risiko dan prosedur dalam perniagaan dan risiko kewangan seperti risiko pasaran, risiko kredit, risiko strategik, dan risiko operasi;
(iii) untuk mengenal pasti keinginan/toleransi/parameter risiko kepada Lembaga untuk diterima pakai;
(iv) untuk mengukur/menilai dasar-dasar yang sedia ada dan baharu, kawalan dan mencadangkan kepada Lembaga untuk apa-apa perubahan, kelulusan dan penerimaan;
(v) untuk memastikan kecukupan dasar dan sistem pengurusan risiko dan memastikan takat keberkesanannya;
(vi) untuk memastikan bahawa infrastruktur, sumber dan sistem yang ada telah tersedia untuk mengenal pasti, mengukur, memantau dan mengawal risiko;
(vii) untuk menetapkan pendedahan risiko KWAP dan aktiviti pengurusan risiko;
(viii) untuk merumuskan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCM);
(ix) untuk mencadangkan kepada Lembaga untuk apa-apa perubahan kepada Rangka Kerja Pengurusan Risiko;
(x) untuk mempertimbangkan isu-isu berkaitan risiko lain seperti yang ditetapkan oleh Lembaga.

JAWATANKUASA IMBUHAN


Jawatankuasa Imbuhan telah ditubuhkan untuk membantu Lembaga dalam melaksanakan fungsi dengan tanggungjawab utamanya untuk mengadakan dasar rangka kerja yang berkaitan dalam menentukan pelantikan dan imbuhan pengurusan dan warga kerja KWAP serta mencadangkan kepada Lembaga imbuhan berkaitan prestasi pekerja berkenaan.

Tugas dan Tanggungjawab Jawatankuasa Imbuhan


Berikut adalah tugas dan tanggungjawab Jawatankuasa Imbuhan:
(i) Untuk mencadangkan keperluan minimum kemahiran, pengalaman, kelayakan dan kemahiran utama kakitangan yang lain;
(ii) Untuk mencadangkan dan mengkaji terma dan syarat pekerjaan dan perkhidmatan kakitangan;
(iii) Untuk mencadangkan dan mengkaji kod kelakuan dan tatatertib kakitangan;
(iv) Untuk mencadangkan mekanisme bagi penilaian formal atas keberkesanan kakitangan;
(v) Untuk mencadangkan kenaikan pangkat / gred pegawai dan kakitangan;
(vi) Untuk mencadangkan rangka kerja dasar yang relevan dalam menentukan imbuhan (kewangan dan bukan kewangan) pegawai dan kakitangan;
(vii) Untuk mencadangkan struktur / prinsip perkhidmatan perjanjian bagi pegawai dan kakitangan termasuk faedah persaraan / penamatan perkhimatan;
(viii) Untuk membuat penilaian tahunan dan mencadangkan polisi imbuhan keseluruhan kakitangan pengurusan utama untuk memastikan bahawa ganjaran setimpal dengan sumbangan mereka kepada pertumbuhan dan keuntungan KWAP;
(ix) Untuk membuat penilaian tahunan prestasi pengurusan dan mencadangkan kepada Lembaga pelarasan khusus dalam imbuhan dan / ganjaran pembayaran atau jika ada, mencerminkan sumbangan mereka bagi tahun itu; dan
(x) Untuk mempertimbangkan isu-isu lain seperti yang ditakrifkan oleh Lembaga.

LEMBAGA PEROLEHAN


Lembaga Perolehan telah ditubuhkan untuk membantu Lembaga dalam melaksanakan fungsi berkaitan dengan penilaian cadangan perolehan.

Tugas dan Tanggungjawab Lembaga Perolehan


Berikut adalah antara tugas dan tanggungjawab Lembaga Perolehan:
(i) Untuk menilai pendaftaran petender dengan Kementerian Kewangan dan Pusat Khidmat Kontraktor, iklan pelawaan tender, spesifikasi tender, dokumen tender (jika perlu), penyediaan jadual tender oleh Jawatankuasa Pembuka Tender, laporan penilaian teknikal dan kewangan, dan lain-lain;
(ii) Untuk memastikan bahawa proses perolehan mematuhi semua polisi dan prosedur perolehan;
(iii) Untuk mengkaji keupayaan teknikal dan kewangan petender. Semasa penilaian tender, cadangan teknikal akan dibuka dan dinilai terlebih dahulu diikuti oleh cadangan kewangan;
(iv) Untuk mempertimbangkan dan mencadangkan pemberian tender yang bermanfaat kepada KWAP, mengambil kira faktor-faktor seperti harga, penggunaan produk dan barangan dan/atau perkhidmatan, penghantaran atau tempoh siap, kos penyelenggaraan serta faktor-faktor lain yang berkaitan;
(v) Untuk memutuskan mengenai proses tender semula atau mencadangkan mana-mana kaedah perolehan lain, jika Lembaga Perolehan mendapati bahawa prosedur perolehan tidak mengikut peraturan-peraturan atau mengesyaki bahawa terdapat penyelewengan dalam proses tender;
(vi) Untuk mempertimbangkan dan menerima tender yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa oleh sekurang-kurangnya majoriti
mudah dan berada dalam had yang diluluskan;
(vii) Untuk mempertimbangkan dan menerima sebarang sebutharga yang diperakui oleh Jawatankuasa Sebutharga yang melebihi had sebutharga; dan
(viii) Untuk mempertimbangkan isu-isu perolehan lain sebagaimana yang ditakrifkan oleh Lembaga.